Jumaat, 10 Ogos 2012

Peluru emas Najib

Oleh Mazir Ibrahim



Oleh kerana tarikh pilihanraya hanya Tuhan dan Perdana Menteri saja yang tahu, maka kita tidak dapat pastikan apakah serangan-serangan UMNO-BN terhadap Pakatan Rakyat akhir-akhir ini sudah sampai ke tahap desperado.

Tetapi corak serangan mereka sejak akhir-akhir ini merupakan petunjuk bahawa kempen politik UMNO-BN sudah memasuki fasa-fasa akhir sebelum semboyan pilihanraya dibunyikan.

Dengan bermacam projek dan pakej-pakej bantuan kewangan kepada rakyat, seharusnya Najib Razak akan lebih yakin dengan kesan politik dan populariti dirinya dan UMNO-BN. Tetapi kelihatan kesan yang didambakkan itu tidak mencukupi untuk beliau bubar Parlimen.

Tidak seperti Pakatan Rakyat yang ingin memerintah dengan adil dan telus, kemenangan bagi PR pastinya sukar diurus kerana kesedaran atas dasar pertanggungjawaban. PR enggan mempalitkan diri dengan rasuah, salah guna kuasa serta menyelewengkan wang rakyat untuk dijadikan gula-gula politik.

Ini berlaku sebaliknya bagi UMNO-BN, kerana kemenangan bagi mereka bermakna kuasa dan wang, maka mudah untuk jentera politik bergerak. Justeru, apa saja yang boleh dilakukan oleh BN untuk menang, pasti mereka akan lakukan.

Serangan perkauman UMNO

Maka dilaksanakan serangan politik desperado yang berbaur perkauman dan sentimen agama. Hinggalah apa yang terjadi baru-baru ini di mana media utama UMNO, iaitu Utusan Malaysia, tergamak menggunakan ungkapan guru agama untuk menyebar kebencian ke atas DAP yang memperjuangkan politik bersih, anti-rasuah dan peluang saksama.

Ungkapan itu dijadikan seperti fatwa untuk menutup minda orang Melayu. Bagi Utusan, apa pun asas ungkapan itu sudah tidak penting. Bagi Utusan, matlamat menghalalkan cara walau mereka berkokok sebagai juara Islam kononnya.

Malah sebelum isu ini timbul, memori hitam 13 Mei juga telah digunakan oleh juak-juak UMNO untuk berkempen. Ini tidaklah menghairankan kerana hingga hari ini, Najib Razak masih tidak menyahut cabaran Lim Kit Siang untuk berikrar bahawa jika PR mengambil alih Putrajaya, BN akan menghormati keputusan itu.

Motif semua serangan ini mempunyai pelbagai maksud dan tujuannya. Tetapi apa yang lebih utama adalah, dengan serangan ini perhatian rakyat dan juga Pakatan Rakyat akan teralih. Kita akan kelam-kabut bertahan hingga lupa taktik lama UMNO iaitu,  pecah dan perintah.

Dalam Pakatan Rakyat sibuk bertahan, UMNO dengan licik akan menekan rakyat termasuk memanipulasi parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Taktik mereka mudah saja – hentam dan fitnah DAP, pujuk dan kelirukan PAS, dan serang Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang bakal memimpin kerajaan baru.

UMNO dan BN pastinya akan melakukan perkara-perkara yang mungkin tidak pernah terduga oleh kita bahawa mereka akan melakukannya. Namun, jika ia benar-benar berlaku, adakah itu noktah perjuangan PR?

UMNO-BN halalkan apa saja cara untuk menang

Sungguhpun Najib bukan Perdana Menteri yang dipilih melalui pilihanraya (beliau hanya mengambilalih selepas Adbullah Ahmad Badawi meletak jawatan pada 2009), jangan sesekali kita memandang rendah pada kemampuan politik manipulasi Najib.

Dalam situasi UMNO yang amat terdesak ini (bayangkan untuk kali pertama sejak 1955, UMNO bakal ditolak rakyat dalam PRU akan datang), mungkin ada beberapa perkara luar biasa boleh beliau lakukan kerana lojiknya ada.

Antara perkara silap mata paling memukau yang mungkin dilakukan oleh Najib adalah:

1.      Najib dan BN yang selama ini meminggirkan Kelantan yang diterajui PAS sejak 1990, tiba-tiba akan menurut apa sahaja kehendak Kelantan. Negeri Cik Siti Wan Kembang itu mungkin mendapat royalti minyak yang dituntutnya selama ini. Sama ada ini membolehkan UMNO merampas semula Kelantan, setidak-tidaknya ia akan dijadikan propaganda untuk menunjukkan kebaikan pentadbiran Najib kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai ‘Janji ditepati’.

2.      Kerajaan Persekutuan yang sebelum ini tidak mempedulikan masalah rakyat Sabah dihimpit kebanjiran pendatang asing tanpa izin sejak lebih 20 tahun lalu, tiba-tiba akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyelesaikan masalah utama di negeri bawah bayu itu. Ini untuk memastikan tiada lagi Ahli Parlimen atau ADUN UMNO-BN akan lompat dan bekerjasama dengan PR yang telah berjanji untuk menyelesaikan masalah itu jika diberi mandat memerintah Sabah. Ia juga ubat mujarab untuk mengubati luka hati rakyat Sabah yang selama ini dipinggirkan oleh Putrajaya.

3.      UMNO Johor mungkin dibenarkan melaksanakan hukum hudud (versi mentah UMNO) atau setidak-tidaknya dijanjikan untuk membuat pelaksanaan. Tindakan desperado ini mungkin dilihat oleh UMNO mampu membeli jiwa orang Melayu dan melembutkan hati penyokong PAS yang sedang bangkit di Johor. Tambahan pula MCA semakin ghairah menghina dan mengutuk hukum hudud.

4.      Loji nadir bumi Lynas di Pahang mungkin ditutup dan lesen pelabur akan dibatalkan. Walaupun kerajaan UMNO-BN mungkin rugi berbilion ringgit, ia dapat memastikan penentangan rakyat terhadap BN akan berkurangan.

5.      Yang mungkin mengejutkan tapi tak mustahil, Najib mungkin meniru bulat-bulat idea Buku Jingga termasuk menurunkan harga minyak RON95 dan mengembalikan subsidi untuk rakyat serta membuat pelbagai janji baru.

Adakah rakyat mudah terpedaya?

Ini semua mungkin menjadi peluru emas Najib bagi memastikan sokongan rakyat akan dilantunkan semula kepada UMNO-BN yang semakin tidak disukai oleh rakyat pelbagai kaum.

Sungguhpun semua perkara luar biasa ini mampu dilakukan oleh Najib, rakyat juga semakin sedar bahawa jika rasuah politik dilaksanakan demi untuk menang, kerajaan yang baru dibentuk nanti akan kering kontang perbendaharaannya.

Jika itu berlaku, maka rakyat akan menderita sebaik sahaja selesai PRU apabila pelbagai cukai dan bayaran baru dikenakan untuk memulihkan kewangan negara yang telah dibazirkan dnegan teruknya pada masa ini.

Malah, kegembiraan kerana sedikit wang ringgit ditaburkan UMNO-BN hanya bersifat sementara. Najib amat terdesak untuk mengembalikan kuasa majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Selepas berjaya, itu cerita lain.

Peluru emas Najib ini akan menjadi penentu sejauh mana keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Sudahkah PR bersedia dengan taktik pecah perintah dan rasuah poilitik UMNO-BN ini? – Roketkini.com

Tiada ulasan: