Salmah Mat Husain I Foto Rizal Tahir, |
TMB Kelantan memberikan ucapan perasmian
KOTA BHARU: Kakitangan awam diingat menyokong dasar kerajaan negeri yang ada sekarang khususnya berhubung Dasar Membangun Bersama Islam yang diwujudkan sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 1990.
Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata adalah menjadi tanggungjawab kakitangan kerajaan negeri berbuat demikian bersesuaian tanggungjawab yang dipikul di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kursus Motivasi dan Integriti pada penolong pegawai tanah dan pelukis plan negeri Kelantan.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob.
Lebih 100 orang kakitangan pejabat tanah seluruh jajahan hadir pada majlis yang julungkali diadakan itu.
“Kerajaan negeri ada dasarnya, dasar Membangun Bersama Islam, Dasar Pelancongan Dasar Wanita dan berbagai lagi yang perlu disokong bersama,”ujarnya.
Sebagai pegawai kerajaan, mereka perlu menyokong dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang ada.
Pada masa yang sama beliau berkata kakitangan kerajaan negeri perlu mengikut lima kategori kerjaya, antaranya jauhi dasar pilih kasih dalam kerja, amanah, selain mematuhi dasar kerajaan negeri.
Tegasnya, elak kepentingan diri disamping bertekad untuk mencapai cita-cita kerajaan.
Sementara itu, Ahmad ketika merasmikan majlis itu berharap kakitangan awam khususnya yang bertugas di pejabat tanah membantu kerajaan negeri menyelesaikan masaalah pencerobohan tanah kerajaan.
Menurutnya, pencerobohan tanah kerajaan negeri masih tidak selesai hingga ke hari ini dan sukar dikawal.
“Tentunya memerlukan pengorbanan kakitangan untuk menyelesaikan tanah kerajaan termasuk tanah rezab di kawasan bandar.
“Kita memang mudah terdedah dengan pelbagai kesempatan untuk memenuhi kepentingan diri, kita mudah diheret untuk bersekongkol dengan pihak penceroboh,”ujarnya.
Bagaimanapun, tambahnya dengan keimanan yang tinggi disamping integriti kerja ianya dapat diatasi dengan baik.
Sambungnya, budaya kerja ubudiah, masuliah dan itqan perlu ditekankan untuk megelakkan perkara tidak diingini berlaku dalam menjaga amanah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan