Hazayani Zakaria, |
Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Chin Sung Chew (gambar) berkata, SOP polis terhadap petugas media amat penting bagi mengelakkan mereka dikasari polis ketika menjalankan tugas.
"NUJ berasa gembira dan meraikan keputusan PDRM ini kerana dengan adanya SOP boleh mengurangkan peristiwa yang tidak diingini seperti yang berlaku di perhimpunan sebelum ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memaklumkan bahawa SOP itu akan diumumkan sebulan daripada sekarang dan akan dirangka dengan mengambil kira pandangan dan cadangan petugas media yang pernah membuat liputan di perhimpunan seperti perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Sehubungan itu, PDRM akan memanggil wakil media untuk duduk berbincang mengenai SOP itu dan mahu mana-mana petugas media yang dicederakan tampil memberikan pandangan mereka.
Mengulas perkara itu, Chin berkata ianya akan dibawa ke mesyuarat NUJ pada Jumaat ini.
"NUJ akan bermesyuarat Jumaat ini jadi saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat dan mungkin kita akan berhubung dengan polis lebih awal untuk menyatakan kesediaan menghantar wakil untuk berbincang," katanya.
Sebelum ini, Panel Siasatan Bebas mengenai perhimpunan Bersih 3.0 mendapati tiadanya SOP di kalangan pasukan polis menjadi punca berlakunya insiden wartawan dan jurugambar mendapat kecederaan.
Pada Perhimpunan Bersih 3.0, dua wartawan dimasukkan ke hospital akibat dipukul polis manakala beberapa wartawan dan jurugambar dikasari termasuk kad memori kamera mereka dirampas dan dilarang mengambil gambar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan