Ahad, 5 Ogos 2012

Lagu tema merdeka: PKR kecewa dengan Rais

 
 
PETALING JAYA— PKR melihat pengumuman Datuk Seri Dr Rais Yatim, bahawa pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat berkenaan lagu tema kemerdekaan itu sebagai “memalukan” menteri itu kerana beliau merupakan menteri yang berpengalaman.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan, menteri penerangan, komunikasi, dan kebudayaan itu perlu bertanggungjawab, dan tidak cukup hanya dengan penubuhan jawatankuasa.

“Agak mengecewakan ... seseorang yang berpengalaman, tapi jadi macam ini,” kata Nurul Izzah ketika ditanya respon berkenaan keputusan Rais (gambar) itu.

“Tidak cukup dengan jawatankuasa, beliau perlu bertanggungjawab,” tambah ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.

Jelas Nurul Izzah, adalah lebih baik jika pendapat rakyat diambil kira dalam membentuk lagu berkenaan agar mereka dapat menghayatinya.

“Biarlah rakyat yang tentukan ... dengan cara itu, lebih ramai yg akan menghargai kemerdekaan,” tambahnya ketika merasmikan pelancaran Kelab Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Rais sebelum ini mengumumkan satu jawatankuasa panel khas akan ditubuhkan bagi menyiasat ketulenan lagu tema Hari Kemerdekaan ke-55 “Janji Ditepati” yang didakwa menyerupai lagu “Serukan NamaNya” yang berunsurkan ketuhanan masyarakat Kristian di Indonesia.

“Panel khas akan ditubuh bagi menentukan sama ada lagu itu lagu tiruan atau tulen.

“Pembangkang jangan pandai tuduh saja,” katanya melalui mesej di laman sosial Twitter miliknya.

Penggubah lagu, Jasnie Mohd Yaakub sebelum ini mempertahankan ciptaannya bersama komposer Arman E Six dan Aye, dan menegaskan lagu berkenaan adalah karya mereka, namun tidak menafikan kemungkinan terdapat sedikit persamaan kord dan rentak tetapi bukan dari sudut melodi lagu.

Tiada ulasan: