SHAH ALAM : Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengedar air terawat dengan baik akan diselesaikan oleh Kerajaan Selangor sendiri dengan membaik pulih tangki simpanan air yang tidak mampu berfungsi pada tahap terbaik.
Pembaikan itu akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan di mana kos kerja-kerja tersebut akan ditanggung oleh Syabas.
Usaha ini merupakan antara langkah yang terpaksa diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memperbaiki pengurusan air terawat di Selangor ekoran kegagalan Syabas menunaikan tanggungjawabnya.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata loji-loji itu tidak diselenggara dengan sempurna dan ada loji yang peralatannya seperti pam air langsung tidak berfungsi.
Menurut beliau,kerajaan negeri mempunyai perancangan bagi meningkatkan jumlah kapasiti air terawat dengan beberapa cadangan yang dikemukan untuk mengatasi isu itu.
“Kita mencadangkan pembinaan tapak rawatan air yang baru disebelah loji dengan menggunakan teknologi membrane.
“Justeru dengan adanya projek ini,kita boleh meningkatkan jumlah air terawat sehingga 50 peratus tambahan,” Abdul Khalid berkata dalam sidang media selepas mesyuarat exco pada 1 Ogos lalu.
Tambah Abdul Khalid,pada masa kini,negeri Selangor bukan berhadapan dengan jumlah air terawat tetapi sistem pengagihan air yang perlu diperbaiki sehingga dapat mengurangkan jumlah air tanpa hasil.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan,Kajian Dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata hasil lawatan yang dilakukakan mendapati banyak tangki simpanan air yang tidak diselenggara dengan baik oleh Syabas membahayakan penduduk sekitar.
“Didapati banyak tangki simpanan air itu dengan pamnya tidak berfungsi dengan baik, sehingga mengakibatkan tangki-tangki air yang besar itu tidak mempunyai air.
“Selagi Syabas tidak memperbaiki tangki simpanan air itu maka usaha kita tidak berguna kerana ia tidak dapat mengagihkan air,” katanya.
Ujar beliau lagi,Syabas digesa memberi penjelasan dan penyelesaian berkenaan penyelenggaraan tangki simpanan air pada masa segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan