KUALA SELANGOR : Kerajaan Selangor sedang dalam proses mengambilalih hutang yang ditanggung Universiti Selangor (Unisel) sebanyak RM 15 juta bagi membebaskan beban kewangan universiti tersebut.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri mengambil keputusan itu selepas mendapati Unisel tidak memiliki modal yang cukup serta tidak berupaya membayar hutang tersebut.
Beliau berkata, salah satu daripada masalah Unisel ialah modalnya tidak cukup untuk membiayai kos seperti pembinaan kampus berjumlah RM 600 juta dan asrama, RM 200 juta.
Menurutnya, hutang tersebut kini diambilalih Kerajaan Negeri dan tanggungan Unisel akan berkurangan dan universiti tersebut boleh mula mendapat keuntungan dari pendapatan.
“Sebabnya masalah ini berlaku bila masa pembinaan Unisel dulu Kerajaan Negeri terdahulu (Umno-BN) tidak memasukkan dana untuk menyelesaikan hutang tersebut.
Sebab itu ia berhutang dan pendapatan Unisel tidak cukup untuk membayar segala hutang itu.
Pendapatannya hanya cukup untuk membiayai gaji petugas seperti profesor, guru dan kaitangan lain selain membiayai pentadbiran asrama tetapi tidak cukup untuk perbelanjaan membuat asrama.
Ia bukan sedikit kerana kosnya RM200 juta dan pembinaan kampus RM600 juta.
“Oleh sebab itu saya berpendapat kita jangan bebankan universiti untuk membiayai perkara ini tetapi diambilalih Kerajaan Negeri. Keputusan ini dibuat selepas 2008.
Kalau tidak dulu semua perbelanjaan itu ditanggung Unisel maka itu sebab Unisel teruk. Sekarang kita kena ambilalih hutang itu tetapi ada prosesnya kerana Unisel terhutang dengan bank.
Kita sedang buat segala dokumen dan jaminannya untuk perkara itu,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Program Tadarus dan Tadabbur Perdana peringkat Negeri Seangor 1433H di sini hari ini.
Berhubung dakwaan Unisel berhutang dengan Syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) hampir RM15 juta, Abdul Khalid berkata, berdasarkan prosedur undang-undang, hutang tersebut perlu dibayar.
Akan tetapi Kerajaan Negeri akan meneliti kembali perjanjian antara syarikat tersebut dengan Unisel bagi memastikan tiada syarat-syarat yang berat sebelah.
Misalnya, mengikut perjanjian tersebut, pelajar-pelajar yang tidak menduduki asrama yang dibina JNSB perlu membayar nilai sewa bilik mereka.
Abdul Khalid menambah, laporan audit Unisel juga memakan masa untuk dibentang berikutan penyata kewangan tidak diaudit atau didedahkan sejak lima tahun lalu.
“Saya sudah arahkan pihak akauntan untuk menyemak dan mengkaji semula segala-galanya sehingga betul dan lengkap.
Dia sedang melakukannya dengan merujuk kepada dokumen dan buku akaun lama dalam beberapa tahun lepas maka ia mengambil sedkit masa,” katanya.
Dalam laporan media hari ini, Unisel didakwa berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan