Isnin, 6 Ogos 2012

Kelantan ragui penubuhan jawatankuasa khas

Wartawan Sinar Harian

Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
 
Kelantan ragui penubuhan jawatankuasa khas
Nik Aziz Nik Mat
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan masih ragu-ragu dengan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji pembayaran royalti atau bayaran tunai petroleum yang dituntut mereka selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tuntutan itu ia dilihat masih samar-samar kerana ia sebenarnya akan ditentukan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Beliau yang baru tiba dari Makkah semalam ketika memberitahu Sinar Harian turut menyifatkan, tindakan tersebut  hanya langkah politik menjelang pilihan raya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan.

“Adakah Barisan Nasional (BN) menggunakannya sebagai ‘jambatan’ untuk menyeberangi pilihan raya ini dengan selamat, khususnya dalam konteks Kelantan?

“Jelas dari inti pati kenyataan Najib berkenaan, keadaan masih samar-samar. Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan kepada rakyat Kelantan,” katanya semalam.

Husam berkata, sekarang bulan Ogos, jika pilihan raya diadakan dalam tempoh sebelum jawatankuasa itu membuat laporan dan seterusnya menunggu pertimbangan Kabinet atas rekomendasi mereka, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan.

“Ia mungkin berakhir sebagai sebuah latihan akademik semata-mata. Sehingga ia tidak dilihat tidak melayani harapan rakyat Kelantan dan pada masa yang sama, tidak pula memenuhi tuntutan itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri turut mempersoalkan tempoh yang diambil oleh jawatankuasa itu iaitu dalam masa enam bulan.

 “Kenapa enam bulan, kenapa tidak tiga bulan, dan kenapa ia diumumkan ketika  menjelang pilihan raya dan bukannya sebelum ini?” katanya.

Meskipun mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu atas kedudukan sekurang-kurangnya tuntutan Kelantan telah memaksa Jawatankuasa ini ditubuhkan, namun Husam berkata, Kerajaan Negeri, tidak menarik balik samannya ke atas Petronas yang dijadualkan, satu dari prosidingnya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada Oktober ini.

Tiada ulasan: