Ahad, 5 Ogos 2012

Kelab Mahasiswa PKR dilancarkan

KL TODAY

 


KEADILAN menubuhkan Kelab Mahasiswa KEADILAN bagi menarik minat mereka terhadap politik semasa, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Berucap pada majlis pelancaran, beliau percaya kelab itu bakal menjadi penggerak ‘kuasa tiga’ mewakili rakyat khususnya golongan muda dalam isu berkaitan.

“Mahasiswa adalah kuasa ketiga yang bawa suara rakyat. Ini dapat dilihat  dalam demonstrasi Baling sehinggalah mereka ditangkap,” katanya ketika melancarkan kelab itu di ibu pejabat semalam.

Nurul Izzah berkata, sikap kerajaan Umno yang menghalang hak mahasiswa bersuara bukan perkara baru, malah mahasiswa sentiasa dikawal dengan pelbagai bentuk program ‘ampu’ kerajaan.

“Pegawai khas Perdana Menteri baru-baru ini dikesan terlibat dalam perancangan menangkan mahasiswa pro Aspirasi. Apa ini? Ini penghinaan kepada mahasiwa.

“Tidak hairanlah pilihan raya kampus tidak berfungsi, kemudian kerajaan gunakan kursus Biro Tata Negara (BTN)  bagi mengawal pelajar di kampus,” katanya.

Wakil Kelab Mahasiswa KEADILAN, Ahmad Bakhtiar Amir Zaimi, 24, pula berkata ia sebagai langkah awal mengenali dunia politik berikutan mahasiswa adalah pelapis politik pada masa depan.

Mahasiswa jurusan Kejuruteraan Kimia dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu menyatakan penubuhan kelab itu sudah lama dirancang sejak mereka menyertai program santai bersama Rafizi Ramli.

Rafizi ialah Pengarah Strategik KEADILAN yang menemui formula untuk memansuh pinjaman PTPN, selain membawa kaedah pendidikan percuma kepada pelajar.

Baktiar berkata, siri jelajah dimulakan pada September depan bermula di institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Kelang, khususnya mengenai tawaran KEADILAN membabitkan isu mahasiswa.

“Kami akan mulakan jelajah di Universiti Malaya sambil mencari ahli baru di samping menerangkan objektif penubuhan kelab dan penerangan isu PTPTN,” katanya.

Tiada ulasan: