Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin bertegas, beliau dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli tidak gentar dengan kes saman Datuk Seri Shahrizat Jalil yang akan bermula petang ini.
“Kita yakin kes ini akan berpihak pada kita kerana penyelewengan yang kita (KEADILAN) dedahkan memang betul. Jadi amat tidak kenalah bagi Shahrizat untuk menyaman kita,” kata Zuraida yakin.
Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, Shahrizat akan tampil sebagai saksi pertama hari ini.
19 Januari lalu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu memfailkan saman terhadap Zuraida dan Rafizi sebanyak RM100 juta berhubung projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Ia berikutan KEADILAN mendedahkan dana RM250 juta untuk penternakan lembu itu disalah guna keluarga Shahrizat.
Ia termasuk membeli lima kondominium di Singapura dan Bangsar, dua lot tanah di Putrajaya, kereta mewah dan pelbagai transaksi meragukan.
Shahrizat dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi telah memfitnah dan memburuk-burukkan beliau.
NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail manakala tiga anak beliau adalah pemegang saham dan pengarah di dalam syarikat Agro-Science Industry Sdn Bhd, syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham ‘preference’ dipegang kerajaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan