PUTRAJAYA - Hakim-hakim Mahkamah Sesyen dan majistret kanan tidak boleh dilantik bagi mendengar saman sivil membabitkan tuntutan wang yang tinggi kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum meluluskan jawatan seperti yang diharapkan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Beliau berharap perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin kerana ia adalah penting bagi membolehkan pentadbiran badan kehakiman melaksanakan pindaan kepada Akta Mahkamah Rendah 1948 yang diluluskan Parlimen dua tahun lalu.
"Saya berharap (JPA) tidak akan mengambil masa yang lama," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah atas pelantikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebagai pesuruhjaya kehakiman.
Arifin, yang kelihatan tidak gembira, berkata Kabinet meluluskan pelantikan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret kanan.
"Kami mahu hakim mahkamah sesyen dan majistret dengan pengalaman empat hingga lima tahun sebelum mereka boleh mendengar kes-kes sivil agar keputusan dan penghakiman yang diberikan di mahkamah-mahkamah rendah adalah berkualiti," katanya.
Badan kehakiman menunggu respons JPA berhubung rayuannya bagi menaikkan gred bagi jawatan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret-majistret kanan yang tidak diluluskan seperti apa yang diharapkan badan kehakiman.
Majistret dengan kuasa yang ada sekarang terhad untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM25,000, akan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan sehingga RM100,000 mengikut pindaan itu.
Sementara itu pindaan itu memberi kuasa kepada hakim-hakim mahkamah sesyen untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM1 juta. Pada masa ini bidang kuasa mereka terhad kepada RM250,000 dan ke bawah.
Arifin berkata pegawai badan kehakiman yang berpengalaman boleh dilantik bagi menguatkuasa pindaan itu yang mana akan mengurangkan bilangan hakim-hakim
mahkamah tinggi untuk mendengar tuntutan sivil dan dengan itu membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan ke atas badan kehakiman.
Dalam perkembangan lain, Arifin berkata versi rasmi bagi peraturan gabungan bagi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-Mahkamah Rendah yang baharu dikuatkuasakan adalah versi Bahasa Malaysia dan jika wujud sebarang pertikaian berhubung tafsiran peraturan-peratuan itu, mahkamah akan merujuk kepada versi Bahasa Malaysia.
Beliau berkata ini merupakan kali pertama versi Bahasa Malaysia dijadikan teks yang berwibawa.
Peraturan-peraturan mahkamah bertujuan bagi memudah dan menyeragamkan prosedur mengenai litigasi sivil bagi peguam-peguam dan orang awam mula berkuatkuasa hari ini.
Arifin berkata ia mengambil masa tiga tahun bagi badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan wakil-wakil peguam Malaya, Sabah dan Sarawak untuk merumuskan peraturan-peraturan itu.
Sebelum itu, Abdul Karim, 53, bekas ketua pengarah Jabatan Insolvensi di Pejabat Perdana Menteri menerima surat pelantikan daripada Arifin dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Beliau akan ditempatkan sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Melaka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan