BERSIH
Siasatan awam pihak SUHAKAM ke atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia
yang berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman BERSIH 3.0
telah bermula sejak 5 Julai yang lalu. Sehingga kini, seramai 17 orang
saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dan pada minggu lepas (23
- 26 Julai), panel siasatan telah mengambil testimoni daripada 9 orang
saksi.
BERSIH
2.0 berhasrat untuk membentangkan laporan ringkas berhubung testimoni
yang diterima daripada orang awam yang berani tampil ke hadapan sebagai
saksi. Berikut merupakan sebahagian daripada pelanggaran hak asasi
manusia yang telah direkodkan sepanjang inkuiri berlangsung:
KEGANASAN POLIS
Tujuh
daripada sembilan orang saksi menyatakan bahawa mereka telah diserang
oleh polis dan kesemua sembilan saksi melihat anggota polis menyerang
orang awam yang lain. Malah seorang saksi memberitahu, polis
mengarahkan sebuah restoran A&W yang telah dikunci untuk dibuka bagi
membolehkan mereka masuk. Sebaik dibuka, polis masuk ke dalam dan
terus mengasari serta menahan orang awam yang berada dalam restoran
berkenaan.
SALAH LAKU POLIS
Selain
daripada menyerang, polis juga berkelakuan amat ganjil dan sangat tidak
professional. Salah seorang daripada saksi telah memberitahu panel
penyiasat bahawa dia telah dihina secara perkauman oleh anggota polis
yang menyerangnya. Rantai emas yang dipakai dia juga dirampas oleh
polis berkenaan dan masih belum dikembalikan walaupun laporan polis
telah dibuat.
Seorang saksi lain menyatakan bahawa dia melihat sebuah
kereta polis dipandu dalam keadaan laju melalui kawasan yang dipenuhi
dengan orang awam. Malah terdapat orang awam yang sedang duduk di
kawasan tersebut. Terdapat juga seorang saksi yang memberitahu bahawa
anggota polis yang memukulnya memakai uniform yang hanya bertanda nama
tetapi tidak memiliki nombor pengenalan polis.
PENGGUNAAN GAS PEMEDIH MATA SECARA MEMBUTA TULI
Terdapat
beberapa anggota polis dan FRU yang melepaskan tembakan gas pemedih
mata secara terus terhadap orang awam walhal mereka sepatutnya
melepaskan tembakan dari jarak yang selamat bagi membolehkan peserta
bersurai.
Seorang saksi terpaksa menderita hilang penglihatan mata
sebelah kiri akibat terkena kelonsong gas pemedih mata yang ditembak
dari jarak dekat.
Dia baru sahaja bergraduasi dan telah kehilangan
pekerjaan pertama akibat kecederaan yang dialami. Beberapa saksi lain
menyatakan terlalu banyak gas pemedih mata dilepaskan di kawasan sempit
yang dipenuhi orang awam menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang untuk
menyelamatkan diri. Di awal inkuiri, seorang saksi memberitahu panel
siasatan bahawa dia telah terkena kelonsong gas pemedih mata di leher
menyebabkan dia pengsan semasa kejadian.
MASA TIDAK MENCUKUPI UNTUK BERSURAI
Dua
orang saksi memberitahu mereka ingin pulang ke rumah pada pukul 4
petang namun terhalang kerana stesyen LRT ditutup. Keadaan ini
menyebabkan mereka keliru dan memaksa mereka untuk duduk di kawasan yang
sarat dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air. Pada
waktu itu juga polis datang dan menyerang mereka.
SERANGAN KE ATAS KAKITANGAN MEDIA
Tiga
orang wartawan telah memberi keterangan bahawa tag media mereka telah
diabaikan oleh pihak polis yang telah merampas kamera mereka,
mengarahkan mereka berhenti daripada membuat rakaman dan menyerang
mereka. Seorang wartawan yang berjaya melepasi due barisan kawalan
polis telah ditumbuk semasa berada ditengah-tengah benteng polis
berkenaan. Polis juga enggan menyerahkan semula kad memori yang
dirampas daripada kameranya.
Salah seorang petugas media pula
telah diberi amaran oleh anggota polis agar tidak menangkap gambar dan
anggota polis berkenaan cuba merampas kamera serta menendang tag media
dia bagi membolehkan dia ditangkap. Dia kemudiannya bertanya arah
kepada anggota polis berkenaan namun anggota berkenaan memberi amaran
kepadanya dengan mengatakan "Kalau aku nampak kau lagi, aku akan tangkap
kau."
Petugas media yang ketiga memberitahu panel inkuiri semasa
dia sedang duduk di tepi jalan, dia melihat OCPD Dang Wangi sedang
memberi arahan kepada sekumpulan anggota polis dengan menggunakan heler,
namun dia tidak dapat mendengar arahan tersebut. Setelah itu, kumpulan
anggota polis tersebut bersurai dan mula menyerang peserta himpunan
secara rawak. Tiba-tiba, tujuh atau lapan orang anggota polis datang ke
arahnya dan menyerangnya secara berterusan walaupun dia menjerit
memaklumkan dia adalah petugas media.
KELAKUAN ANGGOTA POLIS YANG TIDAK KONSISTEN
Di
sebalik ribuan peserta yang dibenarkan untuk memakai baju kuning,
seorang saksi memaklumkan dia diminta oleh oleh pihak polis untuk
menanggalkan baju kuning yang dipakainya dan terpaksa pulang ke rumah
tanpa kemeja T.
Setakat ini, siasatan yang dijalankan oleh
pihak SUHAKAM menunjukkan terlalu banyak pencabulan hak asasi yang telah
berlaku ke atas peserta "Duduk Bantah" BERSIH 3.0. Siasatan ini akan
diteruskan pada minggu ini dengan pendengaran seterusnya pada 1 dan 2
Ogos. Lebih ramai saksi akan dipanggil termasuk daripada anggota
polis. BERSIH 2.0 mengharapkan kebenaran akan dapat didedahkan
sekaligus memberikan cerita sebenar tentang apa yang telah berlaku pada
28 April 2012 apabila 250,000 rakyat Malaysia tampil untuk menuntut
sebuah pilihanraya yang bersih dan adil.
Keluar Mengundi, Lawan Penipuan!
*Disediakan oleh Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).
**Jawatankuasa
Pemandu BERSIH 2.0 adalah: Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersama), A.
Samad Said (Pengerusi Bersama), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Khoo,
Arul Prakkash, Arumugam K., Awang Abdillah (Kuching), Dominic Hii
(Sibu), Dr Farouk Musa, Hishamuddin Rias, Liau Kok Fah, Mark Bujang
(Miri), Maria Chin Abdullah, Niloh Ason (Kuching), Richard Y W Yeoh, Dr
Subramaniam Pillay, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh dan
Zaid Kamaruddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan