SEPANG : Lebih 100 penduduk sebuah taman di sini menarik nafas lega apabila masalah hakmilik rumah mereka telah diselesaikan dengan pertolongan Kerajaan Selangor.
Rasa gembira terpapar di wajah 114 penduduk Taman Murni apabila mereka mendapat dokumen hak milik individu bagi rumah mereka daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid hari ini.
Salah seorang penerima, S. Rajah, 55 melahirkan rasa terharu dan terima kasih ke atas pentadbiran Kerajaan Negeri yang dilihat cemerlang dalam tempoh empat tahun pentadbirannya.
“Lebih 10 tahun kami turun naik pejabat tanah namun tiada sebarang berita gembira berjaya kami perolehi daripada kerajaan sebelum ini.
“Berbeza dengan Pakatan Rakyat, kami dapat lihat kesungguhan Kerajaan Negeri membela rakyat tanpa kaum dan agama dan saya yakin rakyat Sepang pasti akan buka mata kali ini” jelasnya dengan penuh semangat.
Kawasan perumahan yang berusia lebih 20 tahun itu diusahakan pemaju tanpa sebarang permohonan pecahan tanah untuk penduduk dan ini menimbulkan pelbagai isu berkaitan hak milik.
Kerana itu, walaupun penduduk dapat menduduki rumah, mereka tidak dapat dokumen hak milik terhadap rumah itu.
Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri berusaha menyelesaikan masalah ini bagi membolehkan penduduk memperoleh dokumen hak milik yang sepatutnya menjadi hak mereka.
“Sehingga kini lebih 60 peratus penduduk berjaya mendapatkan geran dan kita yakin jumlah ini akan menjadi 100 peratus dalam masa sebulan dua,” ujar Abdul Khalid.
Turut hadir Exco Negeri, Ronnie Liu, Adun Teratai, Jenice Lee, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Mohd Sayuthi Bakar serta Ahli-ahli Majlis MPS.
Dalam majlis sama juga, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa Dua kepada 29 penerima bagi DUN Sungai Pelek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan