Editor Buletin
"Memalukan!”
Itulah reaksi MB Terengganu entah untuk kali yang keberapa ketika
beliau melakukan lawatan ke Hospital Setiu kelmarin (Isnin 30 Julai
2012) sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian tempatan
apabila merungut perihal kegagalan Dewan Bedah Hospital Setiu.
Dewan bedah itu gagal untuk beroperasi sehingga sekarang walaupun
Hospital Setiu sebenarnya telah dibuka semenjak tahun 2003 lagi.
Puncanya masih didakwa kerana kelewatan kontraktor untuk melakukan
kerja-kerja membaik pulih dan pengawasan yang tidak serius dari Jabatan
Kerja Raya. Dengan makna lain, MB ingin menyatakan, “Itu salah mereka!
bukan salah saya!”
Imbas kembali, kenyataan Menteri Besar
Terengganu selepas mesyuarat EXCO pada 26 Mei 2011 lepas, di mana
beliau menyuarakan kekecewaannya kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan
Kementerian Kesihatan serta kontraktor atas kegagalan Dewan Bedah
Hospital Setiu berfungsi setelah lebih tujuh tahun siap dibina.
Lebih
awal dari itu, di dalam simpanan saya, kenyataan pertama berhubung isu
ini telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Januari 2011 lalu, kemudian
disusuli dengan kenyataan kedua pada Mei 2011 seterusnya disusuli pula
dengan kenyataan ketiga pada kelmarin (30 Julai 2012), saya melihat ada
kecenderungan untuk saling tuduh menuduh apabila sesuatu projek yang
dibina bermasalah atau mengalami kegagalan.
Antaranya, sikap
menyalahkan pimpinan kerajaan negeri terdahulu (sedangkan MB sekarang
adalah sebahagian pimpinan kerajaan negeri terdahulu) dan kementerian
serta agensi kerajaan pusat termasuk pihak kontraktor tanpa ada sebarang
langkah konkrit ke arah penyelesaian. Semua polemik ini tidak akan
mendapat memberi sebarang manfaat kepada rakyat. Malah rakyat akan
menjadi pelanduk yang tersepit di antara gajah-gajah yang telah
‘sendawa’ kekenyangan mengaut keuntungan walaupun hakikatnya projek
tersebut gagal berfungsi sepenuhnya.
Kalau pada kenyataan Menteri
Besar Januari 2011 lalu, soal cat yang tidak berkualiti sehingga
menyebabkan serangan hama dan menggelupas, kebocoran bumbung serta
resapan air bawah tanah yang semuanya berpunca dari pembinaan yang tidak
menepati spesifikasi dikatakan menjadi sebab kegagalan dewan bedah
berfungsi, kini setelah hampir 2 tahun berlalu, masalah yang sama masih
ditimbulkan serta belum berjaya diperbaiki kalau sekiranya memang benar
kerja-kerja pembaikian telah dilakukan.
Pihak pentadbiran
Hospital Setiu yang dihubungi pula kelihatan cuba untuk menyembunyikan
hakikat keadaan sebenar yang berlaku dari pengetahuan rakyat. Jawapan
yang diberikan tidak meyakinkan malah Menteri Besar pula yang disalahkan
kerana didakwa terlalu ‘boros’ mengeluarkan kenyataan tanpa mendapatkan
fakta sebenar. Malah didakwa oleh sumber dalaman pentadbiran Hospital
Setiu, Menteri Besar dikatakan cuba membina imej diri dengan cara suka
mengkritik kegagalan orang lain sedangkan beliau (MB) sendiri bersikap
lepas tangan.
Tetapi apabila saya tekankan, apakah kenyataan
Menteri Besar itu satu kesilapan dan Dewan Bedah Hospital Setiu
sebenarnya berfungsi sebagaimana sepatutnya? Jawapannya, Tidak! Sekadar
boleh digunakan untuk pembedahan kecil (minor surgery) sahaja. Kenapa
dewan bedah yang dibina pada tahun 2000 lagi masih tidak boleh digunakan
sepenuhnya? Akhirnya sumber dalaman pentadbiran hospital mengakui, ia
akibat dari terlalu banyak campur tangan politik yang sukar dijelaskan.
Kenapa dalam soal projek yang melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat,
masih terdapat campur tangan politik yang memeningkan? Jangan salahkan
rakyat kalau mereka sekadar bertanya, apakah projek Hospital Setiu ini
juga dibina oleh kontraktor OKU (Orang Kuat Umno)?
Lujnah
Pengguna PAS Terengganu merasa terpanggil untuk menyatakan keprihatinan
atas apa yang berlaku ini. Kita menegaskan bahawa, semua polemik dan
karenah birokrasi pentadbiran serta mainan politik yang tak bertempat
perlu dihentikan segera!
Kita ingin melihat Hospital Setiu yang
dibina pada tahun 2000 dan dibuka pada 2003 dengan kos RM65.8 juta
benar-benar boleh dimanfaatkan oleh rakyat. Semua agensi yang terlibat
baik Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri
Terengganu, Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak kontraktor perlu
sekali lagi duduk semeja, berbincang dan mengambil langkah penyelesaian
konkrit.
Semua pihak tidak terkecuali baik Menteri Besar,
Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya serta
kontraktor, wajib segera mengambil tindakan yang cepat dan tepat tanpa
perlu saling menunding jari ke arah satu sama lain. Hakikat yang perlu
diakui, memang terdapat masalah pada struktur binaan dan kelengkapan
Dewan Bedah Hospital Setiu sehingga ia gagal berfungsi sebagaimana
dirancang.
Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Lujnah Pengguna PAS Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan