Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Kerajaan Umno BN dinasihat menumpukan masalah rakyat, bukan menjadikan isu keluarga Timbalan Presiden KEADILAN sebagai senjata menjatuhkan karier politiknya, kata Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.
Beliau berkata, banyak lagi masalah rakyat yang perlu diangkat termasuk kenaikan harga barang hingga membebankan pengguna.
“Saya rasa malu sebab masalah ini tidak dipandang serius oleh kerajaan, sebaliknya manjadikan isu keluarga Azmin Ali sebagai modal politik Umno BN.
“Kalau betul pun keluarga Azmin ada masalah, ia tidak perlu diperbesar-besarkan sehingga keluar dalam berita nasional,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas tindakan Umi Hafilda yang memperalat ibunya, Che Tom Yahaya untuk mengkritik abangnya, Azmin ketika umat Islam meraikan Aidilfitri.
Buletin Utama TV3 baru-baru ini memaparkan kononnya ibu Azmin kecewa kerana beliau tidak pulang berhari raya serta menziarahi ibunya walaupun banyak kali dihubungi.
Umi kemudiannya mempertikaikan Azmin yang menjadi pemimpin sedangkan tidak menghiraukan ibunya sendiri.
Mengulas perkara itu, Badrul yang lebih dikenali Chegu Bard berkata, Umi tidak perlu hipokrit dan berpura-pura baik kerana rakyat Malaysia sudah mendengar pelbagai cerita berkenaan hubungan Umi dan keluarganya.
“Bukan sedikit kita dengar cerita Umi dengan keluarga dia. Kalau kita nak ungkit, macam-macam kita boleh ungkit. Tapi tak perlu sebab ia adalah isu keluarga. Banyak lagi masalah rakyat yang perlu dibangkitkan,” katanya sinis.
Berdasarkan catatan Ali Omar pada 18 Oktober 1998, beliau telah melucutkan warisan zuriat Umi Hafilda dengan tidak mengaku anak dunia dan akhirat serta melarangnya pulang ke rumah di Kampung Kelang Gate, Setapak.
Mengikut catatan bapanya itu, pelucutan waris wasiat tersebut lebih kepada masalah yang dilakukan Umi sendiri termasuk sikap melawan, tidak mempeduli nasihat, riak, takbur dan pembohong di samping penglibatannya dalam konspirasi dan komplot terhadap pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Allahyarham bapanya, Umi pernah beberapa kali mengasari ibunya sehingga sanggup menuding jari telunjuk ke muka ibunya dan disuruh ‘shut up’ dan mengherdik dengan berkata jaga sikit mulut.
“Sejak 1988, sudah tiga empat kali Umi lari dari rumah, berbulan-bulan lamanya keluar dari rumah,” jelas bapa Umi dalam catatan pengakuannya.
Menurut Ali lagi, fitnah Umi semakin menjadi-jadi apabila dia memfitnahnya dan isteri sehingga kedua-dua mereka bercerai pada 20 Februari 1998 sebelum dirujuk kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan