Oleh: Mat Zain Mat Isa |
Ada beberapa kemungkinan yang dapat disenaraikan ekoran kesungguhan segelintir khalayak bergelar ulama muda di dalam Umno mahu menubuhkan apa yang dinamakan mereka sebagai majlis ulama parti itu.
Keghairahan mereka dilihat tercetus ekoran kenyataan terdesak wakil mereka yang diasak Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dalam sessi debat khas anjuran sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Dalam pertembungan hujah yang turut disiarkan saluran tv berbayar itu, pendebat Umno itu jelas cuba membuktikan bahawa partinya juga mahukan Islam dan memberi ruang kepada para ilmuan agama berperanan di dalamnya. Lalu beliau cuba menggambarkan kononnya majlis ulama parti dicadangkannya itu adalah sebagai komponen penting bagi memperkukuhkan Umno.
Oleh kerana lontaran itu dibuat pada majlis yang menjadi tumpuan khalayak politik, ia segera mengundang reaksi dan pandangan balas pelbagai pihak. Banyak yang mengalu-alukan cadangan tersebut dengan berbagai raisonal dan andaian positif. Mereka berhasrat melihatnya direalisasikan suatu hari nanti.
Bagaimana pun, menilai reaksi agak hambar dan persepsi sedikit serong dari kalangan pemimpin tertinggi Umno, cadangan itu rasanya tidak akan menjadi kenyataan dan bakal tinggal sekadar impian.
Sebaliknya, sekiranya parti itu kelak bersetuju mewujudkan sayap ulamanya, ia mendorong kita memikirkan berbagai persoalan untuk mencari kewajaran apakah tujuan sebenar Umno berbuat demikian.
Seperti yang agak ketara terpamer pada hujah pendebat Umno itu, maksud asal cadangan tadi antara lain bagi memperkukuhkan lagi dakwaannya bahawa Umno juga mahukan Islam. Bahkan, kita masih ingat itulah hujah diberikan jurucakap sekumpulan ulama muda itu ketika menyerahkan borang keahlian Umno kepada presiden parti, Dato’ Seri Najib Razak, 25 Jun 2010 lalu.
Kononnya penyertaan mereka didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular itu.
Soalnya, jika tujuannya sekadar mahu membuktikan kepada dunia, khususnya kepada masyarakat Islam negara ini, bahawa Umno juga mahukan Islam dan bersungguh menghargai letak duduk ulama dalam perjuangan politiknya, apakah peranan bakal diberikan kepada sayap itu cukup penting dan kuasanya agak besar sehingga mampu menentukan prinsip dan halatuju parti, sepertimana yang kini dilembagakan di dalam PAS?
Dalam ertikata lain, apakah mudah bagi sebuah parti sekular seperti Umno untuk memberi laluan dan ruang kepada khalayak agamawan mencorakkan perjalanannya? Maaf cakap, ia kedengaran agak ‘sumbang’ dan tidak munasabah.
Dalam hal ini, reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan agak berterus-terang. Bagi penulis, apa yang diperkatakannya adalah tipikal sikap dan pendirian khalayak umum dalam Umno terhadap peranan institusi ulama dalam politik.
“Ini soal agama, janganlah berparti sangat... Islam yang kita amalkan ini membantu dalam mentadbir negara, bukan Islam yang kita uar-uarkan bagi mentadbir parti politik,” katanya, sebagaimana dipetik akhbar harian penganjur debat tadi, edisi 27 Julai.
Beliau dengan tegas tidak bersetuju diwujudkan majlis ulama di dalam Umno. Sebaliknya, mencadangkan penubuhannya di peringkat negara.
Kenyataannya itu boleh ditafsirkan sebagai menolak campurtangan agama dalam politik. Dan, kita percaya fahaman ‘politik suku, agama suku’ ini memang bersarang kukuh di dalam jiwa para pemimpin Umno keseluruhannya.
Maka, dapat kita fahami bahawa Umno belum bersedia mengambil agama sebagai panduan perjalanan politiknya. Justeru, apa perlunya parti itu mewujudkan majlis ulama sebagai komponen pentingnya?
Di kalangan yang menyahut cadangan tadi ada juga yang menganggapnya sebagai tepat pada masa bagi Umno mewujudkan sayap ulamanya. Mereka malah mengimbau sejarah awal penubuhan Umno dulu yang katanya memiliki sayap ulamanya. Bahkan sayap itulah yang dikatakan akhirnya melahirkan PAS.
Soalnya, jika sekadar mahu membawa rakyat kembali mengingati sejarah itu, apakah imbauan itu tidak akan menemukan kita dengan sebab-musabab kenapa akhirnya khalayak agamawan itu bertindak meninggalkan Umno?
Tidakkah dengan tersingkapnya kembali catatan sejarah itu akan lebih membuka ‘pekung di dada’ Umno di kalangan pencinta Islam? Lagi pun, adakah semata-mata dengan menggamit nostalgia Umno bersama sayap ulamanya dulu itu mampu menaikkan imej Islam pada batang tubuh Umno, sekaligus menudung segala kebobrokan dibuat parti itu selama puluhan tahun kemudiannya terhadap perkembangan Islam dalam negara?
Lalu, satu-satunya hujah atau rasional yang masih tinggal untuk justifikasi penubuhan majlis ulama Umno ialah bagi menjadi alat parti itu dalam isu-isu berkaitan agama. Lebih-lebih lagi, sepertimana dimaklumi bahawa musuh utama Umno dalam mempertahankan undi masyarakat Melayu-Islam ialah PAS.
Sebagai sebuah parti didukung pencinta Islam dan ditegakkan di atas prinsip Islam, PAS dilihat senantiasa di hadapan dalam isu-isu berkaitan agama berbanding Umno. Maka, mahu tidak mahu Umno perlu memberikan ruang kepada golongan ulama, agar mudah ia membentuk ‘perisai’ menangkis serangan parti lawannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan