Rabu, 1 Februari 2012

Renungan di Hari Wilayah

Oleh Mazir Ibrahim


Kuala Lumpur ibu negara Malaysia telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan untuk memastikan ibu kota ini dapat ditabdir dengan lebih baik apabila diletakkan terus di bawah kerajaan pusat.

Dalam konteks demokrasi dan politik di Malaysia, rasional ini cukup mudah untuk difahami sebagai cara menjustifikasikan matlamat untuk projek pembangunan yang cepat dengan mengikut kehendak pemerintah pusat tanpa “gangguan” penduduk di sekitar Kuala Lumpur.

Justeru, anggapan bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi tiga peringkat, iaitu pusat atau persekutuan, negeri dan tempatan, kelihatan menjadi mitos sahaja.

Penduduk Kuala Lumpur hanya diberi peluang untuk memilih 11 wakil rakyat ke Parlimen tanpa sebarang hak untuk menentukan nasib dan hala tuju rakyat setempat. Taraf mereka sama seperti Ahli-Ahli Parlimen lain yang tidak ada kuasa dengan pentadbiran negeri-negeri.

Kesemua Ahli Parlimen yang dipilih rakyat ini tiada apa-apa kuasa sebagai pentadbir wilayah tersebut. Kuasa mentadbir telah diserahkan kepada Datuk Bandar yang dilantik oleh kerajaan Pusat menerusi Jabatan Perdana Menteri untuk menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Segala peruntukan untuk DBKL ditentukan pula oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar juga dilantik oleh Perdana Menteri.

Ini bererti lebih 2 juta penduduk Kuala Lumpur tidak mempunyai perwakilan yang dipilih oleh kalangan pengundi mereka. Warga kota “diperintah” oleh seorang Datuk Bandar yang tidak dilantik oleh mereka sendiri.

Ini juga bermakna yang dipilih tidak ada kuasa untuk mengurus dan mentadbir wilayah tersebut, sebaliknya yang dilantik tanpa diketahui dan dikenali oleh rakyat tempatan, mempunyai kuasa penuh untuk mengutip cukai, mengurus dan merangka agenda pembangunan tanpa mererlukan mandat daripada warga kota.

Malaysia memang istimewa, kejadian-kejadian pelik amalan demokrasi hanya boleh berlaku di Malaysia. Mahathir memang semuanya boleh.

Isu-isu utama

Tujuh tahun yang lalu, seorang pelajar penyelidikan Liew Chin Tong telah mengemukakan pandangannya tentang ketidakadilan yang terpaksa ditanggung oleh warga kota akibat sistem yang tidak demokratik tersebut.

Antaranya isu yang dibangkitkannya, terdapat tiga prospek yang perlu diambil kira dan dilihat oleh rakyat khususnya penduduk wilayah persekutuan Kuala Lumpur iaitu:

  1. Di negara-negara maju yang mengamalkan demokrasi, mereka menggunakan model yang lebih tersusun, kemas dan praktis dengan cara mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan atau pilihan raya majlis perbandaran. Wilayah bandar (sub-nasional) seperti Kuala Lumpur perlu ditadbir oleh pengurus yang dipilih secara demokrasi oleh pengundi, iaitu warga Kuala Lumpur.
  2. Penduduk kota Kuala Lumpur kini mencecah lebih dari 2 juta penduduk, di mana 70 peratus daripadanya adalah penduduk tetap. Soalan yang menariknya ialah, bagaimana dengan jumlah penduduk yang sebegini ramai, tidak ada wakil yang setaraf atau berperanan seperti Ahli Dewan Undangan Negeri?

Jika kita lihat negeri Perlis yang penduduknya sekitar 240,000 orang boleh mempunyai sebuah kerajaan negeri dengan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tiga kerusi Parlimen, mengapa Kuala Lumpur tidak ada hak yang sama. Dengan wujudnya Putrajaya sebagai bandar pusat pentadbiran negara, wilayah Kuala Lumpur seharusnya terasing dari pengurusan pusat yang diletakkan di bawah kuasa pusat atau dengan lebih tepat lagi di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri. Kelahiran Putrajaya (yang wilayahnya juga diambil dari Selangor) menjadi signifikan bahawa rasional meletakkan Kuala Lumpur di bawah pentadbiran pusat sudah tidak releven lagi.

3. Bagaimana untuk mengekalkan pembangunan yang mampan dan daya saing yang baik sesuai dengan kehendak penduduk demi mewujudkan wilayah Kuala Lumpur yang telus dan berakuantabiliti dari aspek pentadbirannya? Ini menjadi titik fokus yang sangat penting sebagai langkah mencapai matlamat tersebut.

Persoalan untuk warga kota

Warga Kuala Lumpur yang menetap dan membayar cukai berhak untuk mengetahui bagaimana wang kutipan cukai yang dikutip oleh DBKL pergi ke mana dan dibuat apa.

Seperti yang dibangkitkan oleh Liew dalam pemerhatiannya pada 2004, DBKL mencatatkan bajet sekitar RM2 bilion, yang terbesar dalam sejarah di kalangan senarai dewan-dewan bandaraya di Malaysia. Malah ia yang yang kedua terbesar selepas belanjawan negeri Sarawak dan Selangor.

Selama tempoh itu, adakah kita dapat lihat manfaatnya kepada penduduk Kuala Lumpur? Bagaimana dengan sistem jalan raya, lebuh raya dan lalu lintas, pengangkutan awam, tandas awam, tempat letak kereta, pembinaan rumah, kondo, apartment, flat dan sebagainya?

Berapa banyak pembangunan yang sedia ada telah mengorbankan hak banyak pihak? Bagaimana dengan kes Kampung Baru, Kampung Chubadak, Jalan Sultan dan banyak lagi? Adakah peneroka bandar, penjaja, peniaga kecil, pemilik kedai dan ramai lagi diberi hak untuk memilih dan mencadangkan dasar pembangunan yang sesuai dengan kehidupan dan persekitaran mereka mencari nafkah hidup?

Adakah warga kota benar-benar puas hati dengan perkhdimatan DBKL? Dan jika tidak puas hati, bolehkah warga kota “menolak” mereka yang tidak pernah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya?

Tekad Hari Wilayah

Ketiadaan hak untuk memilih kepimpinan dan pengurus oleh jutaan penduduk Kuala Lumpur secara demokrasi – untuk menubuhkan satu bentuk “kerajaan negeri” di Kuala Lumpur – membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional memperlekeh minda dan keupayaan warga kota.

Penduduk ibu kota yang dikatakan bergaji besar, berjawatan hebat dan berpendidikan tinggi hanya diberikan “hak” untuk membayar cukai tanpa ada suara yang boleh disalurkan kepada “kerajaan negeri” atau DBKL sendiri secara demokratik.

Seperti kata Liew, yang kini menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera, Hari Wilayah pada setiap 1 Februari ini tidak perlu disambut dengan pesta kerana ia patut menjadi hari renungan bagi warga kota untuk menuntut hak demokrasi.

Ini penting untuk mengakhiri era kuasa mutlak Datuk Bandar dan DBKL bagi digantikan dengan pilihan raya peringkat dewan bandaraya – sama seperti pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri – dengan memperuntukkan 40 kerusi yang mana setiap kerusi dapat mewakili 50,000 penduduk, atau 50 kerusi bagi membolehkan setiap wakil rakyat mewakili 40,0000 penduduk.

Pilihan raya sedemikian akan membolehkan wakil-wakil rakyat melantik seorang “ketua menteri” dan kemudian memilih kabinetnya untuk mentadbir Kuala Lumpur secara demokratik. Dan jika pengundi tidak puas hati dengan mereka, “kerajaan” baru boleh dibentuk dengan memilih wakil-wakil baru atau wakil-wakil lain dalam pilihan raya akan datang.

Selamat Hari Wilayah untuk warga kota yang cintakan Kuala Lumpur yang memerlukan perubahan demi kesejahteraan penduduk. – Roketkini.com

Tiada ulasan: