"Saya tidak tahu Echo sokong siapa, dia pun tak tahu siapa saya sokong. Tetapi ISA adalah zalim. Semua orang tidak dapat menerimanya," kata Aiman Athirah Al Jundi, Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat yang dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 baru-baru ini, lantaran penyertaannya dalam Perhimpunan Mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada 1 Ogos 2009.
"... kerana dia orang Tionghua, dan kesemua OKT adalah Melayu. Ini bukan untuk membezakan apa, tetapi dalam konteks ini, ia menunjukkan generasi muda prihatin terhadap masa depan negara, dan keadilan untuk semua rakyat yang memperjuangkan hak."
Untuk Aiman (gambar kiri), masyarakat Malaysia kini memasuki fasa menyaksikan perpaduan yang wujud melangkaui batas kaum, agama, warna kulit dan pendirian politik, dan mereka sanggup menghulurkan tangan kepada mangsa kerana berkongsi idealisme yang sama.
Pada 22 Februari, 11 orang yang dituduh terlibat dalam perhimpunan Mansuhkan ISA dijatuhkan hukuman, diarahkan untuk membayar denda RM2,000 sebelum jam 4 petang, dan lebihan RM500 sebagai wang jamin untuk menangguhkan pelaksanaan hukum penjara sehari.
Sebaik sahaja keputusan hakim dilaporkan, seorang suri rumah tangga bernama Echo Koh Wee Sun telah menyeru kawan-kawannya dalam Facebook, agar memberi wang sumbangan untuk menjelaskan bayaran denda itu. Dalam masa sesingkat lima jam, Echo berjaya mengumpul wang sejumlah RM25,000.
Kedua-dua orang Echo dan Aiman bertemu di Kuantan pada hari ini, selepas Himpunan Hijau 2.0 di Padang MPK4, Kuantan. Dalam satu sidang media yang diadakan, Echo menjelaskan bagaimana dirinya terharu dengan perjuangan OKT tersebut, dan memutuskan untuk menyumbang kepada mereka.
Echo Koh Wee Sun berkata, dirinya terbaca tulisan Nashita Md Noor, kolumnis MerdekaReview, yang juga salah seorang OKT. Echo berkata banyak persamaan antara Nashita dengan dirinya, cuma bezanya, Nashita lebih ke depan berbanding dirinya.
Echo mengambil kesempatan untuk menjelaskan bagaimana wang yang dikumpulkan itu bakal digunakan. Disebabkan kesuntukan masa, Harakah telah mengambil inisiatif untuk menjelaskan wang denda itu bagi pihak OKT, untuk mengelakkan mereka dipenjarakan pada hari itu.
Wang yang dikumpul oleh Echo (gambar kiri) akan didermakan kepada OKT, RM1,000 seorang, untuk menampung kos mereka berulang-alik ke mahkamah berikutan kes ini. Wang yang selebihnya mungkin diamanahkan kepada Tabung Bantuan Guaman dari Majlis Peguam untuk kegunaan 16 orang OKT ini kerana kes mereka belum lagi selesai. Echo berkata dirinya mengumumkan bahawa tiada wang derma akan dikutip lagi apabila angkanya mencecah RM25,000, tetapi masih ramai yang memasukkan wang, sehingga jumlahnya kini mencecah RM26,000 daripada 210 orang.
Baca: Kutipan derma kilat untuk sampaikan mesej: Mereka tidak keseorangan!
*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan