Rabu, 29 Februari 2012

Mustafa: Umno mahu lagakan PAS dengan Anwar

FREE MALAYSIA TODAY

Parti itu takut dengan kekuatan ikatan antara parti dalam Pakatan Rakyat.



PETALING JAYA: PAS mendakwa Umno mahu melagakan parti itu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu negara Israel.

Umno, kata Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali membesar-besarkan isu Israel dan Palestin bagi memecah belahkan Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataan media hari ini, tokoh veteran PAS itu berkata, Umno takut dengan kekuatan ikatan antara parti dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, Umno juga menerima penyelesaian dua negeri Israel dan Palestin sebagaimana yang diterima PKR.

“Umno lebih akomodatif terhadap Israel berbanding dengan sikap Anwar sendiri yang memberikan syarat untuk Israel jika mahu diterima iaitu menyokong dan mengiktiraf Palestin,” kata beliau.

Menurut Mustafa, sejak dari zaman Tun Dr Mahathir lagi, Malaysia mengiktiraf Israel walaupun tidak secara terbuka.

Bendera Israel

Bahkan bendera Israel juga pernah berkibar di bangunan Umno, PWTC.

“Malaysia juga membenarkan pasukan kriket Israel bermain di Malaysia, membenarkan hubungan dagang antara Israel dan Malaysia.

“Bahkan, Menteri Umno juga pernah berjumpa dan berbincang dengan Menteri Israel,” kata Mustafa.

Kata Setiausaha Agung PAS itu, PAS tidak mengiktiraf Israel. Umno pula hanya berminat dalam isu ini ekoran kenyataan Anwar dalam The Wall Street Journal,.

Katanya, lebih baik menteri-menteri Umno itu diam kerana Umno juga sama sahaja mengiktiraf Israel.

Para pemimpin Umno termasuk Dato’ Puad Zarkashi, tambah beliau meminta Majlis Syura Ulama PAS memanggil Anwar agar menjelaskan pendiriannya tentang Israel.

Hubungan dagang

Dalam masa yang sama, Perlabuhan Klang dilaporkan membenarkan kapal-kapal Israel berlabuh di situ.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin pula mengesahkan Umno tidak bekerjasama dengan Israel dalam hubungan politik tetapi menerima hubungan dagang antara syarikat Malaysia dan Israel.

Sikap yang sama juga dinyatakan oleh Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini bermakna, Umno mengiktiraf kewujudan Israel yang sejak dari dahulu lagi ditolak oleh PAS, kata Mustafa lagi.

Tiada ulasan: