Kemunculan laman sosial telah merapatkan jarak antara rakyat dengan ahli politik. Mungkin untuk sesetengah orang dari generasi sebelum internet, dunia maya ini mempunyai daya tarikan yang sukar ditolak. Semakin banyak publisiti, pengenalan dasar, propaganda, anjuran aktiviti kini dijalankan melalui internet. Ia seolah-olah dilihat ketinggalan zaman dalam era ini, jika tidak mengiklankan diri melalui internet.
Nama "Ah Jib Gor" dipopularkan oleh "bala tentera internet" DAP, yang menyunting adegan filem dan diubahsuai, dan kemudiannya disebarkan melalui internet. Tanpa diduga, tuan nama ini kini mengitar-semula nama ini. Menurut Setiausaha Politik beliau, Wong Nai Chee (gambar kanan), Ah Jib Gor cuba mengambil pendekatan mesra-rakyat. "Berkongsi pengalaman dan corak hidupnya yang sebenar bersama warga internet," kononnya. Menarik juga apabila ada orang menjadikan "sindiran" sebagai "humor".
Laman peminat Ah Jib Gor (bahasa Cina) menegaskan, "Harap pandangan warga keturunan Cina, terutamanya generasi muda boleh difahami dengan wujudnya platform ini. Meskipun maki-hamun mungkin tidak dapat dielakkan, namun pihak admin tidak akan memadamkan komen warga internet (kecuali kata-kata kesat), malah berharap dapat membina ruang bersuara yang berkualiti."
Dari "1Malaysia" hinggalah "membina platform yang rasional" - retorik sedemikian nampaknya sedap didengar dan mulia dipandang. Dengan kata lain, kotak hitam yang menjadi lambang autoriti nampaknya bakal dibuka, mempersembahkan kepada khalayak ramai betapa tinggi nilainya apabila seseorang pemimpin sanggup merendahkan diri untuk berdialog.
Sesungguhnya tidak kurang ahli politik yang memiliki laman sosial sendiri, sama ada facebook, twitter dan sebagainya, untuk menunjukkan dirinya mesra dan seiring dengan zaman. Namun, kemesraan dan keseiringan dengan langkah zaman di internet perlu ditukar dengan pengorbanan masa. Tetapi, berapa orang yang percaya bahawa Facebook dikendali sendiri oleh ahli politik? Jikalau laman sosial tersebut dikendalikan oleh pemikirnya, setiausahanya, maka apa maknanya sama ada beliau FB-kah, tweet-kah dan sebagainya?
Dengan kata lain, siapa pula yang senang dengan pemimpin tertinggi negara, meluangkan masa yang panjang untuk Facebooknya? Berdepan dengan pelbagai persoalan, jawapan Najib perlu disemak dan dikesahkan oleh dirinya, barulah diumumkan kepada khalayak ramai. Kesegeraan interaksi ini semestinya terjejas. Namun, semua manusia hanya mempunyai 24 jam. Untuk berinteraksi dengan peminat di Facebook mahupun twitter, bukan sahaja masa yang diperlukan, namun juga penjanaan minda.
Malah, mengikut sifat-sifat dunia internet, warga internet kebanyakan memiliki semangat yang mendukung kebebasan. Maka, semakin konservatif, feudalisme dan autoritarian seseorang politikus atau sesebuah regim, maka semakin teruk mereka disindir dan diperlekehkan dalam dunia internet, dan akan berdepan dengan serangan yang lebih ketara. Ini menjelaskan mengapa regim Komunis China begitu dendam dengan internet. Ia sesuatu yang boleh diramalkan, bahawa laman Facebook Ah Jib Gor akan mengupah orang untuk memadamkan seberapa yang boleh tulisan yang tidak boleh ditoleransi. Atau ia semestinya berakhir dengan keparahan yang dahsyat.
Persoalannya, apa maknanya dengan satu Facebook yang tidak bersedia mengambil inisiatif untuk membincangkan isu politik? Seandainya ia sebagai saluran untuk mempromosi dasar dan publisiti, unit kerajaan semestinya harus lebihkan penggunaan media internet untuk mendampingi komuniti yang jarang menggunakan media tradisional. Namun, sebagai seorang pemimpin politik, beliau harus memikirkan, berapa masa yang harus diperuntukkan untuk platform ini? Untuk mentadbir sesebuah negara, ia tidak semestinya menuntut anda untuk mengejar arus moden. Barack Obama (gambar kanan) kononnya juara Facebook, tetapi apa pula ceritanya? Rakyat tetap tidak menyokong anda jikalau anda tidak cekap dalam mentadbir negara - tak kiralah berapa peminat, siapa yang yang klik "like" pada status anda...
Jikalau benar rangkaian internet yang terbatas ini mempunyai makna yang sebegitu besar, mengapa tidak pemimpin negara membincangkan isu seperti pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Facebook, atau mengutip pandangan umum terhadap Akta Perhimpunan Aman - memandangkan pemimpin kita begitu prihatin untuk mendengar suara rakyat melalui Facebook? Mengapa hanya empat tuntutan BERSIH 2.0 diterima?...
Pada hakikatnya, jika benar Najib (gambar kiri) tidak tahu bagaimana untuk mentadbir, tercengang-cengang apabila berdepan dengan masalah - maka, daripada cuba meraih populariti dengan merebut klik "like" di Facebook, beliau seharusnya tumpu untuk membina mekanisme demokrasi, untuk menjadikan "pengundian rakyat" sebagai penyelesaian kepada perbezaan pandangan dasar. Langkah ini lebih menambah keabsahan kuasanya.
Masalah terbesar sekarang adalah, kita tidak tahu apa yang difikirkan Najib, kita tidak tahu apa yang padahalnya dianuti beliau? Selepas tsunami 308, penawar beliau adalah slogan "1Malaysia", sehingga logo itu tersergam megah di merata-rata. Namun, dalam seribu hari ini, sebagai pemimpin negara, apakah matlamat akhirnya, apa yang menjadi keprihatinannya? Ke mana negara kita akan dibawanya? Apa cara yang harus digunakan? Ketika mempertimbangkan dasar negara, apa cara dan apa matlamatnya? Apa harga yang sanggup dibayar untuk kesan apa?
Pemimpin yang gagal memberi konsep jelas kepada rakyatnya, akan mengakibatkan kecelaruan di mana masyarakat itu gagal membincangkan sesuatu dengan rasional. Kita langsung gagal memasuki perbincangan dasar yang mendalam, atau pada tahap yang tinggi, kerana kita gagal bersetuju dan kita gagal membantah. Mereka yang bersetuju dengan Model Ekonomi Baru, akhirnya mendapati Najib menafikan dirinya pada keesokan. Mereka yang bersetuju dengan pemansuhan undang-undang zalim, kemudian mendapati niat murni itu ditolak oleh Najib sendiri.
Kita cuba mempersoalkan, mengapa kamu tunduk kepada PERKASA? Beliau menjawab "tak pernah saya kata nak mansuhkan dasar afirmatif bumiputera". Orang lain mempertikaikan, Akta Perhimpunan Aman menyekat kebebasan, beliau pula menjawab, "keselamatan awam juga penting." - Bagaimana kita nak menentukan siapa yang benar dan siapa pula yang salah dengan kelicikan sedemikian?
Apabila kita berharap kerajaan mampu melakukan sesuatu untuk kita, maka akan kita teringat hujah mantan Presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan, "Kerajaan sendiri adalah masalah seandainya kerajaan gagal menyelesaikan masalah." Ah Jib Gor yang berada di ruang maya, cuba menampilkan "humor" yang mesra rakyat. Namun, pada hakikatnya, sejak Najib menyandang jawatan PM, rakyat pula berdepan dengan kemelesetan ekonomi, kadar pengangguran yang melambung, media diugut, kebebasan media dan berpersatuan diancam, kes kematian dalam tahanan yang tidak berhenti-henti...sebagai pemimpin tertinggi, beliau tidak memberikan kita jawapan ketika berdepan dengan masalah yang memeningkan ini, sebaliknya menyediakan hujah-hujah yang bombastik, gambar yang bergaya - sebagai wajah di sebalik dominasi kuasanya. Begitu beratnya beban rakyat, namun Najib pula nampak relaks. Apabila kepedihan rakyat dibandingkan dengan kemanisan kuasa, bagaimana pula rakyat boleh mengganggap PM sebagai kawan atau jiran? (*1)
Demokrasi selalunya bermakna, rakyat jelata boleh berjenaka dengan penguasa. Dalam politik Malaysia pula, penguasa pula yang berjenaka dengan rakyat. Apabila dimaklumkan penubuhan laman Ah Jib Soh untuk menyindir isterinya, Najib bersahaja dan menganggap itu juga "humor". Namun, Ah Jib Gor yang tersayang, bukankah anda juga harus meneliti "humor" rakyat ketika anda berhumor? Sememangnya humor anda mungkin terlalu berat untuk rakyat, namun, kita berharap anda memahami apa yang tersirat di sebalik "humor" rakyat!
Baca: Sindiran banjiri laman Facebook Najib versi bahasa Cina
*1 Nota: Setiausaha politik kepada Najib, Wong Nai Chee dalam satu wawancara menyatakan hasratnya agar peminat Ah Jib Gor menganggap Najib sebagai kawan atau jiran.
**Chia Wei Loon ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal, yang disiarkan pada 27 Januari 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan