MALAYSIA KINI
Satu lagi usaha mengganggu ceramah Pakatan Rakyat dilaporkan malam semalam dan kali ini kejadian berlaku di Felda Lepar Hilir I, Gambang, Pahang.
Kali ini, yang nyaris menjadi mangsa kali ini adalah Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (bawah, kiri) dan Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar.
Ceramah itu didakwa diganggu oleh ahli Umno yang dengan senagja memasang pembesar suara di sebuah kedai kopi di mana Nurul Izzah dan Nik Nazmi dijadual berucap mulai jam 9 malam hingga tengah malam.
"Pemimpin PKR tempatan telah mendapat kelulusan polis untuk kita berucap ... tetapi sebelum majlis bermula mereka menerima ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mahu mereka membatalkan ceramah itu.
"Sepanjang ucapan saya kira-kira 20 hingga 30 minit, mereka memainkan lagu dan muzik dengan kuat bagi mengalihkan perhatian orang ramai.
"Pada mulanya, kami sangka bunyi itu datangnya dari konsert, kemudian, kami dapati bahawa mereka sebenarnya menganjurkan satu sesi karaoke," katanya.
Keadaan semakin tidak terkawal apabila tiba giliran Nurul Izzah untuk berucap, kata Nik Nazmi, dengan kumpulan itu mula menyerbu ke lokasi ceramah sambil mencaci dan melemparkan kata-kata kesat kepada anak perempuan ketua umum PKR itu.
“Budak-budak muda cuba pukul Nurul Izzah di ceramah kami di Felda Lepar Hilir. Saya dan Nurul Izzah diiringi polis keluar untuk elak samseng Umno,” kata Nik Nazmi.
Nurul Izzah (kanan) pula dalam raeksi awalnya berkata beliau bersyukur kerana selamat tetapi memberi jaminan tidak akan gentar dengan gelagat liar berkenaan.
“Bersyukur pulang dgn selamat. Moga teman-teman di Felda Lepar Hilir juga bertahan dan bersemangat walaupun samseng-samseng Umno berlagak liar, ugut fizikal.
“Tangan (penumbuk) hanya beberapa inci dari (wajah) saya,” katanya di Twitter pada jam 1 pagi ini.
Skim penempatan Felda itu terletak di kawasan parlimen Paya Besar dan kini dipegang oleh Abdul Manan Ismail dari Umno.
Sehubungan itu, Nik Nazmi dan Nurul Izzah akan membuat laporan di balai polis Merchant Square berdekatan ibu pejabat PKR pada jam 3 petang hari ini.
Kejadian itu hanya salah satu daripada siri gangguan dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila pemimpin Pakatan cuba menggempur kubu-kubu BN, khususnya Umno menjelang pilihan raya umum akan datang.
Semalam, perhimpunan solidariti Himpunan Hijau di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade yang dihadiri Ketua Menteri Lim Guan Eng turut diganggu oleh kumpulan yang dianggotai oleh pemimpin Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA.
20 Februari lalu, kereta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang dengan lontaran batu, kayu dan mercun sehingga kemek dan cerminnya pecah ketika berceramah di Jalan Mersing, Sembrong.
13 Februari pula kunjungan Anwar ke Felda Tun Ghafar Baba, di Machap, Alor Gajah juga dicemari oleh penyokong Umno yang mengganggu ceramah beliau.
Awal bulan ini pula sekatan jalan raya didirikan daripda menghalang pemimpin dan penyokong Pakatan daripada menghadri ceramah yang dijadualkan di kubu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan