Permohonan injunksi itu bagi menghalang kesemua defendan dari memasuki bahagian tanah yang terletak di Mukim Lambor Kanan, Felcra Nasaruddin Belia.
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pendengaran permohonan injunksi oleh Felcra Berhad terhadap 20 pesertanya bagi
menghalang mereka menuai, mengutip atau memotong hasil kelapa sawit di atas kesemua 20 bahagian tanah.
Menurut peguam defendan Wan Rohimi Wan Daud, Hakim Hamider Singh menetapkan permohonan injunksi itu didengar pada 9 Mac ini dalam kamarnya apabila beliau (Wan Rohimi) memohon supaya ia ditangguhkan kerana terdapat beberapa dokumen anak guamnya yang tidak lengkap dan perlu dikemaskini.
Sementara itu, di perkarangan Mahkamah Tinggi, kira-kira 20 peserta yang diketuai Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan (BAPA) Razman Zakaria, berkumpul sejak 8 pagi tadi bagi sesi pendengaran permohonan injunksi yang difailkan oleh Felcra Berhad.
Pada 13 Feb lepas, Felcra Berhad melalui Tetuan Chambers of Murthi & Partners memfailkan permohonan injunksi terhadap 20 pesertanya yang masing-masing beralamat di Felcra Nasaruddin Belia di Bota dekat sini dengan dua orang lagi daripada Syarikat Gerak Mantap Enterprise di Bota Kanan.
Permohonan injunksi itu bagi menghalang kesemua defendan daripada memasuki masing-masing 20 bahagian tanah yang terletak di Mukim Lambor Kanan, Felcra Nasaruddin Belia.
Permohonan itu juga adalah untuk menghalang kesemua defendan atau campur tangan dengan atau menuai, mengutip atau memotong buah kelapa sawit di atas tanah tersebut sama ada oleh mereka, ejen atau pekerja sesiapa pun sehingga pertikaian antara kedua-dua pihak diselesaikan dan diputuskan oleh penimbangtara yang dilantik.
Merujuk writ saman pemula itu, Felcra dalam perjanjian bertarikh 30 Mac 2006 membelanjakan RM29 juta dana pembayar cukai terhadap projek itu dan mempunyai hak kontraktual untuk menuai buah kelapa sawit bagi mendapatkan semula sebahagian daripada kos sepertimana yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Oleh kerana pertikaian itu belum diselesaikan, Felcra telah menggunapakai Klausa 21 Perjanjian Pihak-pihak untuk merujuk pertikaian tersebut kepada timbangtara.
Isu saman antara Felcra Berhad dan peserta timbul apabila peserta mendakwa terdapat pelbagai masalah yang timbul antaranya menerima hasil kelapa sawit yang tidak berpatutan dengan harga kelapa sawit sekarang, peserta masih tertanya lokasi tanah mereka sebenar dan keliru dengan hasil tanam semula serta jumlah hutang mereka kepada Felcra kerana penyata akaun untung dan rugi (PNL) tidak jelas.
Peserta mendakwa telah beberapa kali mengadakan perundingan namun ia tidak mencapat keputusan positif sehingga peserta bertindak mengambil dan mengeluarkan buat kelapa sawit secara sendiri dari ladang mereka. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan