KUALA LUMPUR – Meskipun berdepan dengan pelbagai kepayahan termasuk semua kain rentang diturunkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), siri jelajah dan pendedahan Datuk Dr. Hasan Ali mengenai ‘parasit’ dalam Pas terus mendapat sambutan daripada orang ramai.
Ia terbukti apabila malam tadi lebih 1,000 pengunjung hadir memenuhi padang di Dataran Pahlawan, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi, sekali gus menyerlahkan aura Hasan yang kini lantang memperjuangkan syiar Islam, Melayu dan institusi diraja selepas dipecat Pas.
Hasan yang memulakan ceramah pada pukul 10.50 malam mula menggamit perhatian pengunjung apabila beliau mendakwa Pas yang kini dikuasai lebih 70 peratus kumpulan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah tersasar daripada perjuangan asal semata-mata demi kuasa politik.
Sebagai buktinya, dedah beliau, beberapa hari sebelum dipecat, seorang wakil Pas Pusat datang menemuinya dan meminta agar segala penguatkuasaan bagi mencegah kemungkaran di Selangor, dikurangkan kerana khuatir ia menjejas sokongan terhadap pembangkang.
“Datanglah wakil Pas Pusat bertemu dengan saya, suruh saya kurangkan operasi dan penguatkuasaan (cegah maksiat). Apa dia kata, dia kata yang penting Dr. Hasan, kita kena tawan Putrajaya dulu. Ini orang Pas yang bercakap, masya-Allah... lillahitaala, itulah bahasanya.
“Di Selangor ini yang Menteri Besar orang Islam, Exco kerajaan negeri (terdiri) lima orang Islam dan Exco agama juga orang Islam pun tak boleh nak dilaksanakan tindakan mencegah kemungkaran, apa yang kita (Pas) boleh buat kalau kita tawan Putrajaya?
“Saya tidak kata Putrajaya itu tidak penting tetapi jangan sampai gadai agama. Perintah Allah kita junjung, keinginan manusia kita kelek (usung) bukan sebaliknya seperti Pas hari ini. Keinginan siapa? Keinginan seorang rakyat Malaysia yang terlalu nak jadi Perdana Menteri,” katanya.
Hasan yang juga bekas Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu juga mendedahkan seorang personaliti Pas Selangor telah menasihatkan bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. supaya jangan bercakap soal gerakan Kristian.
Katanya, nasihat tersebut dibuat ketika Hasan Basri dan personaliti berkenaan berceramah di pentas yang sama beberapa bulan lalu dan bekas Ketua Penerangan Pas Selangor itu dikehendaki bercakap mengenai demonstrasi Bersih 3 serta perlu memuji Datuk S. Ambiga.
Dalam pada itu, Hasan memberitahu, pemecatan beliau daripada Pas disebabkan ‘dosanya’ menyekat penjualan arak menyekat orang berjudi di Selangor serta tegas menyatakan yang benar itu benar, yang batil itu batil, adalah sesuatu dibenci oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya dipecat tanpa ada pertuduhan bertulis sedangkan mengikut perlembagaan parti ia wajib. Saya juga tidak diberi ruang walau seminit untuk membela diri dan inilah kali pertama dalam sejarah Pas, parti ini begitu drastik mahu memecat saya hanya kerana tekanan DAP dan PKR.
“Kesalahan saya bukan mencuri; bukan merompak; bukan menggugat kepimpinan parti dan bukan isu moral. Saya tak meliwat orang, kesalahan saya bukan kerana gila kuasa, kesalahan saya kerana melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah di Selangor.
“Salah saya kerana membuat ulasan bukan mengenai Pas tapi mengenai Anwar hanya kerana tidak setuju demonstrasi 9 Januari. Isu mahkamah itu masalah peribadi, kenapa harus dibabit dengan rakyat dan mahasiswa yang ketika itu peperiksaan sedang berlangsung,” katanya.-Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan