Isnin, 15 Ogos 2011

Waris menang saman Felcra

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Seorang waris kepada peserta Felcra di Tapah, Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

Kes beliau antara yang mendapat bantuan dan sokongan Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), iaitu sebuah NGO yang memperjuangkan nasib peserta Felcra.

Kemenangan rakyat

Sementara itu, menurut pengerusi Bapa yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perak, Tuan Haji Razman, beliau menganggap kemenangan tersebut sebagai kemenangan rakyat.

Beliau menyatakan, kes itu menjadi penyuntik semangat kepada NGO itu untuk terus memberi kesedaran serta membantu peserta-peserta mendapatkan semula hak-hak mereka yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak pengurusan Felcra.

Tiada ulasan: