MALAYSIA KINI
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula melantik pegawai pengurus pilihan raya bagi semua kawasan pilihan raya - satu petanda bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan tiga atau empat bulan lagi - berkemungkinan besar November depan.Menurut laporan akhbar bahasa Cina Kwong Wah Daily hari ini, surat pelantikan bagi semua pegawai pengurus pilihan raya itu dikeluarkan dalam tempoh dua minggu lepas.
Pada kebiasaannya, pilihan raya umum diadakan tiga atau empat bulan selepas surat pelantikan pegawai pengurus pilihan raya dikeluarkan.
Laporan itu menyebut, cakap-cakap bahawa pilihan raya umum semakin hampir, sudah tersebar luas dan semua petunjuk menunjukkan semua pihak sedang membuat persediaan untuk menghadapinya.
SPR juga telah mengenal pasti tempat untuk dijadikan pusat penamaan calon manakala Jabatan Pelajaran memilih sekolah yang akan digunakan sebagai tempat mengundi.
"Sekolah-sekolah berkaitan telah diarah supaya tidak menyewakan dewan mereka pada bulan November," kata laporan itu.
Semalam akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily melaporkan bahawa semua bahagian BN di 222 kawasan Parlimen telah diminta mengemukakan senarai awal calon kepada pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan tertinggi BN secepat mungkin.
Memetik sumber, laporan itu berkata arahan itu telah dikeluarkan oleh kepimpinan BN sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan