Jumaat, 19 Ogos 2011

‘Soalnya, apakah Umno dipercayai rakyat?’

Penulis blog Aspan Alias berhujah kepercayaan rakyat terhadap parti lebih penting berbanding calon yang boleh menang.



PETALING JAYA: Penulis blog dan pemerhati politik veteran Aspan Alias hari ini membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkenaan keperluan Umno mencalonkan individu yang boleh menang di dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ini bukan masalah calon. Ini masalah keyakinan kepada parti itu yang menjadi perkara pokok yang wajib diselesaikan.

“Kita tentu masih ingat semasa parti Umno itu merupakan parti yang ‘winnable’ dahulu, calon-calon Umno pernah berkata yang mereka tidak payah berkempen kuat kerana kalau calon-calon itu mewakilkan songkok atau kasut mereka dalam kempen itu pun, mereka masih menang,” tulis Aspan di dalam artikel blog yang bertajuk “Khairy!! Kalau Umno itu masih parti yang ‘winnable’, semua calonnya akan menjadi calon ‘winnable’”.

Semalam Khairy menyatakan bahawa pergerakannya hanya akan mengemukakan calon yang benar-benar layak dan boleh menang sebagai calon untuk pilihan raya umum ke – 13.

“Jika dulu, kita minta lebih ramai calon mengisi kuota untuk calon Pemuda (Umno), dengan beranggapan kononnya jika lebih ramai calon mengisi kuota tersebut maka akan dilihat semakin hebat untuk kekuatan parti.

“Tetapi, sekarang kita bukan lagi semata-mata mengejar kuota…jika peratusan yang boleh menang hanya 20 peratus, maka sebanyak itu juga akan diminta daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” Khairy dilaporkan berkata kepada pemberita di dalam satu majlis di Lumut.

Aspan yang mengakui berkata Umno sememangnya mempunyai calon yang boleh menang tetapi calon yang menang turut menyumbang kepada permasalahan rakyat dan tidak mendapat kepercayaan rakyat.

‘Winnable candidates?’

“Maksud saya ia bukan setakat mendapatkan ‘winnable candidates’ dalam pilihanraya yang akan datang tetapi Khairy mesti cari selain dari ‘winnable candidates’ itu ialah untuk mendapatkan calon yang boleh dipercayai jika mendapat mandat dari rakyat untuk memerintah lagi,” jelas Aspan.

Aspan menyatakan bahawa rakyat mencari parti yang boleh menang dan bukan setakat calon yang boleh menang.

“Yang penting bagi Umno ialah untuk menentukan samada masalah dan perkara yang di isukan oleh rakyat sekarang mendapat penyelesaian atau pun tidak,” tambah Aspan.

“Selagi isu kejujuran kepimpinan atasan dan banyak lagi yang semua pihak tahu belum di atasi, Umno itu sendiri mesti menilai samada parti itu masih parti yang ‘winnable’.

Secara perbandingan, Aspan menyatakan bahawa parti politik seperti DAP dan PAS mendapat undi kerana dipercayai rakyat.

Beliau turut menjelaskan kepentingan parti yang boleh menang dengan menggunakan Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sebagai contoh.

“Ibrahim Ali semasa bertanding sebagai calon bebas telah tewas dan hilang wang pertaruhannya, tetapi apabila bertanding dengan menggunakan tiket PAS beliau telah mendapat lebih dari 7,000 undi majoriti bagi kemenangan beliau.

“Itulah sebabnya keyakinan terhadap parti itu adalah perkara yang paling pokok,” katanya.

Lihat Juga:

Khairy!! Kalau UMNO itu masih parti yang winnable, semua calonnya akan menjadi calon ‘winnable’.

Tiada ulasan: