KUALA LUMPUR: Yuisriah Yusof, Ketua Jurugambar Suara Keadilan – sebuah akhbar rasmi KEADILAN, berdepan pelbagai soalan tidak munasabah dan ‘bodoh’ sepanjang Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil keterangannya.
“Adakah patut SKMM tanya: Adakah kamu yang muat naik gambar dalam portal Malaysian Insider? Adakah gambar itu diubah suai?
“Saya jawab, kerja saya hanya tangkap gambar, tidak tahu nak adobe (ubah suai),” katanya yang tidak mahir menggunakan photoshop, malah komputernya juga tidak ada perisian itu.
Beliau ditanya kira-kira lapan soalan ketika memberi keterangan di pejabat SKMM di sini, petang ini ditemani peguam dari Lawyer For Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri.
Yuisriah atau lebih mesra dipanggil Kak Yuis dipanggil SKMM kerana membantu siasatan berhubung gambar kecederaan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Afiq Albakqry.
Pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, Fayyadh cedera teruk di muka dan hancur tulang pipi selepas terkena kanistes gas pemedih mata di laluan bawah KL Sentral.
Lima plat besi terpaksa dimasukkan di tulang pipi Fayyadh manakala Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang turut berada di lokasi sama, pula cedera di kepala hingga menerima enam jahitan.
Gambar kecederaan Fayyadh yang berlumuran darah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cedera, sempat dirakam Yuisriah yang membuat liputan di kawasan itu sebelum tersebar luas di internet.
Ketika ditemui di lobi pejabat itu, Fadiah menyatakan kekecewaannya dengan gelagat pegawai penyiasat SKMM kerana mengugutnya keluar dari bilik siasatan sedangkan beliau ada tanggungjawap terhadap anak guamnya.
“Apabila saya masuk ke dalam, suara pegawai itu menjerit, suruh keluar. Mereka ugut mahu panggil polis tapi bila saya tanya nama, mereka cuma kata – jangan bercakap soal undang-undang.
“Ini melanggar undang-undang dan mengancam saya selaku peguam. Saya kecewa kerana tidak menghormati saya sebagai peguam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan