SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor akan membangunkan skim mikro kredit bagi membantu pekerja ladang wanita meningkatkan pendapatan mereka agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Abdul Khalid, sebagai permulaan kerajaan negeri akan memperuntuk sejumlah RM5 juta bagi membiayai program terbabit yang antara lainnya bertujuan membantu pekerja ladang wanita memohon pinjaman untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Skim ini diharap dapat membantu kaum wanita dan ibu tunggal yang terpaksa menanggung beban menyara keluarga di ladang.
"Mekanisma terperinci mengenai program ini akan diumumkan kemudian," kata Abdul Khalid ketika merasmikan Konvensyen Wanita Ladang Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.
Tambah Abdul Khalid, jumlah RM5 juta itu merupakan tambahan kepada RM20 juta yang telah diperuntukan oleh kerajaan negeri untuk sistem mikro kredit miskin bandar (MiMBAR) bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 yang bakal disalurkan melalui Tenaganita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan bagi membantu menampung kos pengangkutan penghantaran anak pekerja ladang ke sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan