KUBANG KERIAN, 26 OGgos: Kegembiraan semakin jelas kelihatan di wajah anak-anak yatim Kampung Chicha apabila ahli parlimen mereka, Salahuddin Ayub turun menyampaikan duit raya kepada mereka untuk menyambut ketibaan Syawal.
Setelah laporan asrama mereka musnah dalam kebakaran yang disiarkan Harakahdaily sejak empat minggu lalu, para penderma terus-menerus menghulurkan sumbangan bagi mendirikan sebuah rumah untuk mereka selepas rumah asal mereka hangus terbakar bulan lalu.
Menurut ahli parlimen Kubang Kerian itu, setakat 26 Ramadhan sebanyak RM50,000 telah berjaya dikumpulkan.
“Petang tadi saya juga menyampaikan sejumlah duit raya untuk anak-anak yatim ini membeli keperluan mereka menyambut hari raya yang bakal tiba. Bukan main gembira wajah anak-anak yatim ini,” kata Salahuddin yang tersentuh hati melihat kegembiraan anak-anak buah di kawasan parlimennya.
Mengenai perkembangan terkini pembinaan rumah untuk anak-anak yatim Kampung Chicha ini, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata batu-bata, pasir, besi dan simen telah mula membentuk kerangka rumah yang bakal menjadi tempat perlindungan anak-anak yatim ini.
“InsyaAllah saya yakin dan percaya dalam tempuh sebulan dua lagi rumah anak-anak yatim ini dapat disiapkan. Ianya dapat disempurnakan dengan sumbangan anda semua,” katanya dengan rendah diri. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan