KUALA LUMPUR— Dewan Pemuda PAS Selangor mengesyorkan Putrajaya agar mengikut langkah kerajaan negeri itu yang bersedia menawarkan geran RM 1 juta bagi membiayai usaha menfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baru yang mencurigakan.
Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu adalah satu tindakan bijak dalam usaha membersihkan rang daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan SPR.
“Sepatutnya pihak kerajaan pusat mengambil inisiatif mencontohi tindakan kerajaan negeri Selangor dengan menggunakan kuasa eksekutif yang ada pada mereka bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya yang lebih baik, telus daripada sebarang penyelewengan.
“Kami merasakan ini adalah satu tindakan bijak dan murni kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam menyemarakkan rasa tanggungjawab rakyat negeri ini untuk bersama-sama membersihkan rang daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan SPR untuk suku ketiga bagi tahun 2011 daripada sebarang perkara yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kelmarin Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, geran itu diadakan kerana kerajaan negeri memandang serius aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi sedia ada dan pengundi baru.
“Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negera jiran yang mendapat taraf pemastautin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merungsingkan dan perlu diatasi dengan segera.
“Kami berpendapat bahawa rakyat berhak menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka laluan kepada sistem pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.
Menurut beliau, geran itu terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik.
Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai pertukaran status kewarganeraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan hebat daripada kepimpinan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.
Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergembar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.
Tambah Hasbullah, jentera sayap Pemuda PAS di negeri itu perlu membuat persediaan rapi selain mengambil tindakan proaktif jika terdapat keraguan dalam daftar pemilih yang akan dipamerkan Oktober ini.
“Sebarang kecuaian dan kelekaan di dalam mempastikan daftar pemilih di kawasan masing-masing dibersihkan daripada unsur-unsur manipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan ‘tumbangnya’ pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan