Khamis, 4 Ogos 2011

PRN Sarawak : Ambiga Gagal Cabar Arahan Pengusirannya

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan untuk mencabar notis pengusiran dan tidak membenarkannya memasuki Sarawak April lalu.

Penghakiman dibuat oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf. Beliau bagaimanapun tidak mengarahkan sebarang kos dibuat.

Ambiga yang merupakan pengerusi gabungan NGO yang menuntut sebuah pilihan raya adil dilaksanakan di negara ini bergiat aktif dalam memastikan perkara itu dapat direalisasikan telah dihalang memasuki Sarawak pada 15 April lalu.

Beliau ke sana bagi memantau pilihan raya negeri itu sehari sebelum ia berlangsung.

Arahan menghalang beliau daripada memasuki negeri itu dikeluarkan oleh pengarah imigresen Sarawak.

Pada 23 Mei, Ambiga memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dengan menamakan ketua pengarah jabatan imigresen Malaysia, pengarah imigresen Sarawak dan ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Ambiga memohon untuk membatalkan notis larangan memasuki Sarawak.

Bekas presiden Majlis Peguam itu juga memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan para responden membenarkannya memasuki Sarawak.

Beliau memohon ganti rugi dan kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ambiga dilarang memasuki negeri itu sepanjang tempoh kempen selama 10 hari bagi pilihan raya negeri Sarawak pada April lalu.

Tiada ulasan: