Selasa, 2 Ogos 2011

Peningkatan mendadak pendaftaran pengundi baru di Melaka

"Dari mana datangnya mereka ini?," tanya Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.



PETALING JAYA: PAS Melaka meluahkan rasa bimbang peningkatan mendadak jumlah pengundi baru yang berdaftar di negeri itu dalam tempuh enam bulan pertama tahun ini.

Dalam suku kedua tahun 2011 sahaja, seramai 14,288 pengundi baru didaftarkan berbanding suku pertama hanya 6,394 pengundi baru yang berdaftar.

“Dari mana datangnya mereka ini?,” tanya Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek ketika dihubungi FMT hari ini.

“Kita tidak kisah jika mereka benar-benar rakyat Malaysia yang sah untuk menjadi pemilih. Apa yang dirisaukan ialah mereka merupakan pemilih-pemilih yang diprojekkan oleh pihak tertentu dengan pemberian kad pengenalan ‘percuma’ dan didaftarkan sebagai pemilih.

“Selain itu kita juga bimbang jika pengundi-pengundi baru ini juga adalah pengundi lama yang didaftarkan sekali lagi dengan menggunakan ‘modus operandi’ sebelum ini iaitu dengan mendaftarkan mereka menggunakan kad pengenalan lama,” katanya.

Menurut beliau, jumlah peningkatan yang tinggi itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka baru-baru ini.

Kaji senarai pemilih

Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengkaji senarai pemilih berkenaan untuk memastikan mereka adalah pengundi tulen.

“JIka ada senarai yang meragukan, PAS Melaka akan membuat bantahan kepada SPR,” tambahnya.

Ketua Penerangan PAS Melaka itu juga mendakwa, Umno menggunakan agensi kerajaan untuk menjalankan kempen mendaftarkan pengundi baru.

Katanya, baru-baru ini Umno bahagian Bukit Katil semasa mengadakan kempen mendaftarkan pengundi baru telah memberi minyak pelincir motosikal kepada anak-anak muda yang mendaftarkan nama mereka.

Beliau berkata, Umno yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja untuk mendaftarkan nama pemilih baru.

“Ada anak muda yang tidak tahu nama mereka telah didaftarkan dalam senarai pemilih. Maklumat ini kita perolehi dari tinjauan yang kita buat di kalangan anak-anak muda di Melaka.

“Ini bermakna Umno mendaftarkan siapa sahaja sebagai daftar pemilih supaya orang melihat seolah-olah ramai pemuda menyokong parti itu,” katanya.

Tiada ulasan: