Selasa, 16 Ogos 2011

Peniaga mesti papar tanda harga

BERNAMA


PENGKALAN HULU - Peniaga diingatkan dan diberi amaran supaya memaparkan tanda harga pada barang jualan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

Timbalan Menteri Perda­gangan Dalam Negeri Kope­rasi Dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, pihaknya tidak akan berkompromi jika ada aduan peniaga gagal meletakkan tanda harga.

Tan yang juga Ahli Parlimen Grik berkata, pihak kementerian sentiasa mengambil berat rungutan rakyat mengenai tindakan segelintir peniaga yang sengaja mahu mengelirukan pembeli.

“Letakkan tanda harga jika enggan dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui pada majlis sumbangan bantuan kepada 200 anak yatim, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan, di sini.

Beliau juga menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik hingga membuka peluang kepada peniaga menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan sempena musim perayaan ini.

Tiada ulasan: