Selasa, 9 Ogos 2011

Pemuda PAS: SPR tak layak kendali pilihan raya, perlu rombakan


KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah hilang kredibiliti dan tidak layak untuk mengendalikan sistem pilihan raya negara ekoran terlalu banyak kepincangan.

Tegas ketuanya Nasrudin Hassan, kepincangan dan kelemahan yang berlaku dalam sistem pengurusan pilihan raya telah menjejaskan nilai ketelusan dalam sesebuah negara demokrasi termasuk Malaysia.

“Pendedahan demi pendedahan oleh orang ramai dan parti-parti politik yang menyertai pilihan raya tidak mampu disangkal lagi, malah ia telah melurut jatuh seluruh uniform pengerusi dan timbalan pengerusi SPR di hadapan umum.

“Sangat memalukan dan sungguh menjengkelkan, apabila SPR kini berdepan dengan krisis integriti,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru tegas beliau, pilihan raya tidak boleh diadakan dengan “berhakimkan” pengurusan SPR sedia ada.

Tegas Nasrudin (gambar), pendedahan Pakatan Rakyat berhubung status pemastautin tetap yang bertukar ke warganegara dalam tempoh yang singkat selain turut diberikan hak mengundi satu lagi bukti kepincangan yang berlaku.

“Bermula dengan pendedahan pegawai tentera yang mengaku memangkah atau mengundi bagi pihak undi pos, status pengundi yang pantas berubah dari MyPR (pemastautin tetap) di waktu pagi kepada MyKad (warganegara) di sebelah petang pada hari yang sama.

“Selain itu senarai nama pemilih yang banyak bertindih, berdaftar pula pada satu alamat dengan puluhan atau ratusan pemilih, senarai pemilih yang tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi ada dalam daftar pemilih SPR, senarai pemilih yang telah meninggal dunia sejak bertahun lamanya masih tersenarai dan terbaru sebuah kampung bernama Kampung Baru disenaraikan sebagai pemilih dan banyak lagi,” katanya.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.

Semalam Pakatan Rakyat telah menyerahkan surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memanggil sidang tergempar Parlimen dalam tempoh tujuh hari bagi membahaskan isu itu.

Tambah Nasrudin, berikutan kegagalan SPR menyelesaikan dan membersihkan segala kepincangan yang berlaku tegas beliau Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin perlu merombak badan pengurusan pilihan raya itu.

“Selain itu pengerusi dan timbalan pengerusi perlu meletekkan jawatan segera, merombak keseluruhan struktur SPR ini dan membuat penstrukturan baru dengan penyertaan parti-parti politik yang bertanding serta pemerhati bebas dari peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan: