Sabtu, 20 Ogos 2011

Peguam: Pegawai SKMM bangkit isu kaum dan agama halang soalan

TERKINI

KUALA LUMPUR— Seorang peguam hak asasi kesal dengan tindakan seorang pegawai kerajaan, didakwa membangkitkan soal kaum dan agama bagi menghalang beliau daripada mengemukakan soalan ketika anak guamannya disoal siasat petang ini.

Fadiah Nadwa Fikri dari Lawyers for Liberty, yang menemani jurugambar Suara Keadilan Yusriah Yusof, 50, memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kecewa dengan tindakan pegawai itu.

“Saya hanya bertanya kepada pegawai SKMM itu, untuk apa nak ambil keterangan, untuk siasatan apa, tapi pegawai itu kata ‘U Melayu kan, U Islam kan, jadi jangan banyak soal’.

“Saya terkejut apabila pegawai cakap macam itu, saya cuma nak tahu mengapa nak ambil keterangan tapi pegawai itu tiba-tiba kaitkan dengan bangsa dan agama,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Terdahulu peguam itu menghantar mesej mengenai isu menerusi akaun Twitternya petang ini.

Ekoran tindakan itu, Fadiah Nadwa berkata, beliau akan membuat satu aduan di Majlis Peguam dan laporan polis.

Katanya, tindakan pegawai SKMM itu merupakan satu pencabulan.

“Saya akan membuat laporan tapi nak buat di mana saya akan bincang dulu tapi aduan di Majlis Peguam akan dibuat kerana ia adalah satu pencabulan kerana menghalang hak saya selaku peguam.

“Saya tidak boleh biarkan perkara ini, tindakan perlu diambil,” katanya.

Yusriah hadir di pejabat SKMM untuk memberikan keterangan berhubung gambar kecederaan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Afiq Albakqry semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

“SKMM cuma nak tahu gambar yang saya ambil itu tulen atau palsu, saya kata tulen. Saya disoal hampir satu jam di pejabat SKMM,” katanya.

Ketika perhimpunan Bersih 2.0, Fayyadh mengalami kecederaan teruk di muka dan hancur tulang pipi selepas terkena kanister gas pemedih mata.

Tiada ulasan: