Selasa, 16 Ogos 2011

Pakatan kesal J/kuasa khas parlimen tiada rundingan

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen amat meragukan, lebih-lebih lagi penubuhannya tidak dirundingkan dengan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat mempersoalkan penubuhan jawatankuasa khas parlimen mengenai reformasi pilihan raya yang tidak melalui persiadangan khas parlimen(Gambar ehsan dari Harakahdaily)


Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, penubuhan jawatankuasa itu susulan dari tindakan pemimpin Pakatan Rakyat menghantar surat rasmi mendesak kerajaan memanggil persidangan khas Parlimen pada 8 Ogos lalu.

Bagaimanapun, penubuhan jawatankuasa itu yang diumumkan perdana menteri, tidak dibawa ke persidangan Parlimen oleh seorang menteri terlebih dahulu seperti yang lazim dilakukan, bagi membolehkan ia dibincangkan bersama.

“Sepatutnya, untuk menubuhkan jawatankuasa itu, Perdana Menteri mestilah memanggil persidangan Parlimen untuk membincangkannya. Bukan ambil tindakan terus menubuhkannya seperti yang dilakukan sekarang.

“Kita (Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat) tak pun dihubungi, tak dipanggil untuk membincangkannya. Jadi, kami sendiri pun tak tahu apa maknanya penubuhan jawatankuasa itu? Apa bentuk jawatankuasa yang hendak ditubuhkan dan siapakah yang akan menjadi ketuanya?,” katanya, lapor Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menasihatkan Perdana Menteri agar tidak lari dari perkara asas yang menjadi desakan Pakatan Rakyat iaitu untuk membincangkan isu pendaftaran warganegara asing di negara ini.

“Akibat penyelewengan itu, ribuan warganegara asing yang menjadi penduduk tetap dengan pemilikan kad pengenalan merah telah menjadi warganegara ini dengan diberikan kad pengenalan biru dalam masa amat pendek sekitar beberapa jam sahaja.

“Ini merupakan satu pengkhianatan dan ancaman amat jelas terhadap negara. Perkara ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri. Sebab itulah kami mendesak kerajaan memanggil persidangan Parlimen khas bagi membincangkannya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar, Khalid Samad, Dr Mariah Mahmud, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Cheras (DAP), Tan Kok Wai.

Tiada ulasan: