Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaya di sini diminta mengisytiharkan bahawa tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria pada himpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu adalah suatu tangkapan yang salah, tidak sah dan menyalahi undang-undang. Alasan yang diberikan oleh pihak polis bagi mengesahkan penahanan dan tangkapan tersebut adalah bukan-bukan, sengaja diada-adakan dan tidak mempunyai sebarang asas undang-undang. Razman, 51, dalam tuntutannya berkata, akibat dari penahanan itu, hak asasi beliau untuk bergerak bebas di seluruh negara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan telah terjejas dan dicabul oleh pihak polis. Menurutnya, beliau juga telah menghadapi dan mengalami kerosakan akibat dari tekanan emosi, tekanan mental dan penghinaan ekoran dari tangkapan salah, tidak sah dan haram itu. "Keadaan itu lebih dirasai lagi apabila saya dikurung dalam truck yang panas, bertutup kanvas di kiri kanan, kurang udara dan penuh sesak dengan puluhan tahanan-tahanan yang lain yang tidak dikenali oleh saya," katanya dalam writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di sini, hari ini. Writ saman tersebut difailkan menerusi Tetuan Awi & Co, 28A, Hala Taman Meru II, Pusat Komersial Meru 2B, Ipoh, Perak di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar jam 11.30 pagi. Peguamnya, Asmuni Awi menjelaskan, menerusi writ saman yang difailkan oleh beliau bagi pihak anak guamnya itu, Ketua Polis Negara dinamakan sebagai defendan pertama, manakala Kerajaan Malaysia pula sebagai defendan kedua. Menurut beliau, pada lebih kurang jam 10.45 pagi 9 Julai lalu, Razman selaku plaintif telah menaiki keretapi dari Stesyen Keretapi Klang untuk ke Kuala Lumpur. "Setibanya di Stesen Keretapi KL Sentral pada lebih kurang 11.30 pagi, plaintif telah turun melalui subway di stesyen tersebut untuk menaiki LRT menuju ke Kuala Lumpur. "Sebaik turun ke subway tersebut, plaintif telah ditahan oleh kira-kira 17 orang anggota polis yang beruniform. Salah seorang dari anggota polis itu yang pada hemat plaintif berpangkat inspektor telah meminta plaintif menunjukkan kad pengenalan plaintif. "Plaintif tidak terus menunjukkan kad pengenalannya seperti yang diminta, sebaliknya bertanya kepada pegawai itu mengapa plaintif diminta menunjukkan kad pengenalannya," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini. Pegawai polis itu, menurut beliau, hanya memberitahu bahawa polis mahu memeriksa kad pengenalan plaintif. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pegawai polis berkenaan, plaintif selanjutnya bertanya lagi kepada pegawai polis itu mengapa beliau mahu memeriksa kad pengenalannya. "Pegawai polis itu tidak menjawab pertanyaan plaintif, sebaliknya terus mengarahkan beberapa orang anggota polis lain yang bersama-samanya untuk menangkap plaintif dengan alasan plaintif mengganggu tugas beliau sebagai anggota polis. "Dengan arahan pegawai tersebut, seterusnya anggota-anggota polis tersebut telah memegang dan menangkap plaintif dan mengheret dan menolak plaintif masuk ke dalam trak polis yang telah sedia menunggu di luar Stesen Keretapi KL Sentral itu. "Plaintif dapati trak tersebut telah pun dipenuhi dengan orang awam yang lain yang telah ditangkap terdahulu dari palintif oleh anggota dan pegawai-pegawai defendan pertama. "Plaintif kemudiannya mendapati beberapa tangkapan selanjutnya telah dilakukan oleh pihak polis terhadap orang-orang awam lain di sekitar Stesyen Keretapi KL Sentral dan turut dimasukkan ke dalam trakk yang sama dengan plaintif. "Setelah hampir satu jam ditahan di dalam truck itu dan setelah truck itu penuh dengan tahanan, plaintif bersama dengan tahanan-tahanan lain di dalam truck itu telah dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat menjelaskan, pada jam 9.30 malam hari yang sama, plaintif telah dibebaskan dari tahanan tersebut tanpa sebarang jaminan dan tanpa syarat. "Plaintif menyatakan bahawa sehingga ke hari ini, tiada sebarang pertuduhan telah dikenakan oleh defendan pertama terhadap plaintif. Sehingga ke saat pembebasan plaintif oleh defendan pertama, plaintif tidak mengetahui dan defendan pertama juga tidak pernah memberitahu secara spesifik mengapa, sebab apa atau alasan atau atas kesalahan apa plaintif telah ditangkap dan ditahan oleh pihak defendan pertama. "Soalan-soalan yang dikemukakan oleh plaintif ketika beliau hendak ditangkap itu adalan soalan-soalan yang wajar kerana plaintif berhak mengetahui kenapa beliau hendak ditangkap," katanya. Beliau juga berkata, pihak defendan pertama juga tidak boleh sesuka hati meminta sesiapa sahaja, termasuk plaintif, untuk diperiksa kad pengenalannya tanpa sebarang sebab yang munasabah atau dibenarkan oleh undang-undang. Pihak defendan pertama, tegasnya, wajib memberikan penjelasan yang sewajarnya terhadap soalan plaintif sebelum plaintif mematuhi arahan defendan pertama. "Plaintif juga telah menafikan telah menghalang pihak defendan pertama dari menjalankan tugas. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh plaintif berhubung dengannya tidak boleh disifatkan menghalang tugas pihak defendan pertama dan seterusnya mengarahkan supaya plaintif ditangkap. "Plaintif menyatakan keengganan pihak defendan pertama memberikan jawapan atau penerangan kepada soalan plaintif sebaliknya mengarahkan supaya plaintif ditangkap menunjukkan pihak defendan pertama bersikap angkuh, sombong, tidak prihatin, jahil mengenai peruntukan undang-undang dan satu penyalahgunaan kuasa," tegasnya. Selain menuntut pengisytiharan tangkapan dan penahanan yang salah, tidak sah dan menyalahi undang-undang, beliau turut menuntut defendan pertama dan kedua membayar gantirugi teladan, gantirugi am, kos dan lain-lain perintah suaimanfaat yang diputuskan oleh mahkamah nanti. Beliau menjelaskan, writ saman bagi pihak Razman yang difailkan itu adalah tindakan saman yang pertama difailkan oleh pihaknya bagi mewakili Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, manakala writ-writ saman selanjutnya akan difailkan pada hari-hari berikutnya secara berperingkat-peringkat. "Kes yang akan saya tangani bersama rakan-rakan peguam lain bagi pihak Lajnah Undang-Undang PAS Pusat sekitar 50 orang semuanya dan kesemuanya adalah dari Perak," katanya. Tindakan saman membabitkan 2 orang Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub akan difailkan Isnin ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang akan dikendalikan bersama oleh peguam Zulhazmi Shariff dan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia. Manakala tindakan saman membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan dikendalikan oleh peguam Hanipa Maidin. |
Khamis, 4 Ogos 2011
Mohon isytihar tangkapan Bersih tidak sah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan