TIDAK surut dugaan ditempuhi aktres muda, Miera Leyana Kasmi, 18, apabila baru saja reda kontroversi gaun seksi yang menampakkan bahagian tertentu tubuhnya, kini timbul pula cerita dia dikatakan mabuk selepas berlibur di pusat hiburan.
Bagi empunya diri, ia tohmahan yang jelas cuba memburukkan namanya, malah jauh di sudut hati berharap si penyebar cerita palsu jangan memfitnah sesuka hati tanpa memikirkan maruah insan lain.
“Saya pernah dicop seksi, namun tidak bermakna saya pemabuk. Memang saya terkejut kerana saya tak buat benda seperti itu. Malah lokasinya pula dikatakan berlaku di sebuah pusat hiburan berhampiran kediaman keluarga saya.
“Walau ibu bapa saya bersikap terbuka, pergaulan serta tatasusila sebagai orang timur tetap dititikberatkan. Jangan menilai buku daripada kulitnya. Biar tampak lincah, saya bukan jenis mudah lupa diri,” kata pelakon berbakat besar itu penuh bermakna.
Akuinya, kebebasan yang diberikan keluarga tidak mungkin dipersiakan dan bersama kepercayaan itu Miera berani melangkah sama ada di arena lakonan mahu pun peragaan yang diminati sejak kecil.
Gadis berdarah campuran Melayu-Cina ini sebenarnya mempunyai hati waja apabila menganggap gosip atau khabar angin sebagai asam garam yang perlu dilalui semua insan seni.
“Ramai lagi yang pernah berdepan dugaan lebih hebat. Bagi saya jika tidak benar, baik pekakkan telinga dan pejamkan mata. Saya bersyukur apabila setiap kali datangnya ujian, ibu bapa antara insan pertama yang akan menjadi penenang.
“Bermula lebih awal di bidang peragaan iaitu pada usia 15 tahun menyediakan mental dan fizikal saya supaya kalis tekanan. Pengalaman mengajar saya supaya tidak cepat melatah,” kata si tinggi lampai yang pernah terbang hingga ke Jerman untuk memperagakan pakaian.
Enggan memanjangkan isu kontroversi, gadis yang ditemui pada pertunjukan fesyen Hari Raya di sebuah pusat beli belah di ibu kota baru-baru ini, bicaranya dialihkan ke projek baru semetelah namanya kian mendapat perhatian penerbit.
Baru selesai penggambaran drama bersiri berjudul Psikik, katanya, orang kuat produksi berkenaan turut membuka peluang kepadanya tampil bersama sebuah lagu khusus untuk produk terbabit, Miliknya.
Lagu tema berentak balada yang bakal diedarkan sebagai single itu ialah percubaan pertama Miera di arena rakaman, membuatkannya gementar menanti maklum balas orang ramai.
Katanya, dia sendiri tidak menyangka kerana segala-galanya bermula secara kebetulan iaitu selepas penerbit mendengarnya mendendangkan sebuah lagu Yuna dalam satu babak.
“Menyanyi sudah menjadi hobi keluarga, tetapi sekadar suka-suka. Cuma apabila diberi peluang merakamkan lagu, saya minta tempoh untuk memikirkannya kerana langsung tidak punya asas nyanyian.
“Namun ibu bapa saya memberi galakan, selain penerbit yang menaruh kepercayaan. Memang sukar kerana selain mengawal vokal, pernafasan juga sama penting. Alhamdulillah, saya mampu melepasi ujian itu,” katanya yang mengambil masa dua hari untuk menyempurnakan rakaman.
Dijangka lagu tema akan dipromosikan dulu di stesen radio sebelum drama bersiri terbabit menemui penonton sekitar akhir tahun ini, manakala penggambaran pula sudah diselesaikan lebih awal sebelum bermulanya puasa.
Lash hanya kawan
MENERUSI Psikik, Miera digandingkan bersama pelakon baru, Lash Mokhtar, dan dek keakraban mereka dikatakan intim apatah lagi tersebar gambar yang menandakan kemesraan kedua-duanya.
“Lash macam kawan lain. Macam biasalah kalau bergambar sudah tentu kita duduk rapat dengan orang di sebelah. Dalam gambar itu pun kami bukan berpeluk. Lagi pun ada ramai lagi teman yang ada ketika itu sebab ia berlangsung ketika penggambaran Psikik.
“Biar apa pun orang cakap saya sudah tak kisah. Antara saya dan Lash tetap berkawan. Dia sendiri pun tahu saya jenis gila-gila dan cepat mesra, jadi mereka yang rapat tahu sejauh mana persahabatan kami,” dedah si jelita yang sememangnya peramah itu.
Bercerita soal sambutan Syawal pula, Miera berkata, tahun ini mereka sekeluarga akan terbang ke Eropah mengambil cuti panjang yang sudah dirancang sejak tahun lalu.
Begitupun, mereka akan menziarahi dulu sanak-saudara di sekitar ibu negara dan menghabiskan masa di kampung sebelah ayah di Parit Buntar, Perak sebelum berlepas ke negara orang.
“Mama sudah merancang percutian ini sejak tahun lalu dan lebih seronok kerana ia turut disertai anggota keluarga terdekat. Baik destinasi mahu pun persiapan, segala-galanya diuruskan ibu saya tambahan pula kami sudah lama tidak bercuti sekeluarga.
“Memang tak sabar kerana selain menenangkan fikiran, saya dapat meninjau perkembangan fesyen di sana. Kami akan ke London dulu sebelum singgah ke Paris. Ikut perancangan awal, percutian ini berlangsung selama tiga minggu,” katanya bintang filem Apokalips yang tampak begitu teruja. - Berita Harian
Selasa, 16 Ogos 2011
Masih gadis timur
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan