Isnin, 22 Ogos 2011

Jururawat dan bayi dalam kandungan maut

MALAYSIA KINI


Kemeriahan Aidilfitri mungkin tidak akan dirasai oleh seorang pegawai polis apabila beliau kehilangan isteri bersama anak dalam kandungan berusia tujuh bulan, dalam satu kemalangan di Kilometer 65 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, semalam.

Insp Mohd Nor Idham Ali Mat Nor, 27 dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan kehilangan isteri Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, ketika mereka dalam perjalanan dari Kota Bharu ke rumah ibu suaminya di Taman Sri Kluang, Johor pada pukul 3.30 petang.

Hasrat Noor Edlina yang merupakan seorang jururawat di Hospital Kota Bharu untuk berbuka puasa dan bercuti bersama keluarga mentuanya itu bagaimanapun musnah apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Mohd Nor Idham terbabas ketika tiba di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut terbabas ke bahagian kiri jalan akibat hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.

Katanya kereta itu kemudiannya masuk kembali ke jalan dan berpusing beberapa kali sebelum berhenti akibat terlanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata kesan hentaman yang kuat akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu Myvi hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu masih dalam siasatan manakala mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya di Hospital Pekan awal pagi tadi," kata Yahaya kepada pemberita di Pekan.

Sementara itu, ibu mentua mangsa, Salbiah Abdullah, 50, berkata beliau tidak mengetahui tentang kepulangan anak dan menantunya itu kerana mereka mahu membuat kejutan kepadanya memandangkan panggilan telefon daripada Mohd Nor Idham beberapa hari lepas memaklumkan bahawa hanya beliau sahaja dapat bercuti bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

"Saya meminta agar dia pulang bersama-sama isterinya pada hari mereka cuti bekerja dan tidak kisah jika mereka sampai ke kampung walaupun selepas hari raya pertama bagi mengelak mereka terburu-buru," katanya.

"Anak saya juga masih trauma atas pemergian isteri yang baru dinikahinya Febuari lalu dan bakal cahaya mata pertama yang masih berada dalam kandungan di depan matanya sendiri," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: