Pengusaha yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan.
KUCHING: Tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha yang gagal mengasingkan kedudukan barangan tidak halal sehingga boleh menimbulkan keraguan di kalangan pelanggan Muslim di negeri ini.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, pengusaha yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan.
“Pagi tadi kita mendapat aduan daripada seorang pelanggan yang memberitahu bahawa ada sebuah pasar raya di sini yang mencampur adukkan makanan tin halal dan tidak halal di kedudukan rak yang sama yang menimbulkan keraguan kepada pengguna mengenai halalnya,” katanya.
Menurut Uzir, denda RM100,000 dan penjara tiga tahun bagi peniaga perseorangan dan denda RM250,000 kepada syarikat atau penjara tiga tahun yang dikenakan jika didapati bersalah.
Katanya, PDNKK telah mengarahkan pihak pengurusan pengusaha itu untuk mengambil tindakan segera untuk mengalihkan kedudukan barangan-barangan itu di tempat sepatutnya.
“Biasanya di setiap pasar raya, mereka ada menyediakan tempat untuk menempatkan produk-produk tidak halal dan halal bagi memudahkan para pelanggan terutamanya di kalangan umat Islam membuat pilihan barangan,” katanya.
Oleh itu, katanya pihaknya akan terus membuat pemantauan terhadap permis perniagaan itu dalam masa terdekat ini.
Kata Uzir, ini merupakan kes pertama yang dilaporkan mengenai kejadian itu di bandaraya ini.
Tag: Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan