KUALA LUMPUR — Tindakan Dawama Sdn Bhd, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka, mengarahkan kesemua pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji bermula hari ini satu keputusan salah, tegas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Lebih 400 pekerja terlibat dengan keputusan itu, yang dibuat Dawama ekoran masalah kewangan yang dialami di sebalik “perang dingin” dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.
MTUC menegaskan pengurusan Dawama tidak boleh mengarahkan pekerjanya bercuti, tidak dibayar gaji, selama-lamanya tanpa satu tempoh khusus dan tindakan sedemikian bertentangan dengan undang-undang buruh negara ini.
Sehubungan itu Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata, majikan perlu menyediakan hari kerja bergaji selama 12 hari setiap bulan sebelum meminta seseorang bercuti dan kaedah itu boleh diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.
"Bermakna, majikan kena adakan hari kerja berbayar selama 12 hari setiap bulan, bermakna baki 18 hari boleh dikira cuti tanpa gaji, tetapi tidak boleh meminta pekerja bercuti selama-lamanya tanpa gaji. Ini tak betul.
"Jika majikan tidak dapat menyediakan hari kerja minimum dengan gaji selama 12 hari, maka majikan perlu membayar pampasan yang sewajarnya mengikut tempoh perkhidmatan dan kekananan seseorang pekerja," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Peruntukan berkaitan ditentukan oleh Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perusahaan, katanya.
Halim juga berkata, pihaknya kecewa kerana pekerja-pekerja Dawama, yang kesemuanya beragama Islam, diarah bercuti sedangkan mereka berpuasa mulai hari ini dan akan menyambut Aidilfitri akhir bulan ini.
"Pada pandangan saya, mengikut peruntukan undang-undang, tindakan Dawama tak betul, salah," kata Halim lagi.
Halim berkata, pengurusan Dawama seharusnya mengadakan perbincangan dengan pekerja, dalam kes ini dengan wakil kesatuan, sebelum mengambil tindakan mengarahkan pekerja bercuti.
Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd juga salah satu anggota gabungan MTUC.
Sambil menjelaskan MTUC belum menerima maklumat mengenai perkembangan terbaru ini, Halim berkata, pihaknya akan membantu kesatuan itu dalam menghadapi masalah tersebut.
"Kami juga berharap kerajaan akan membantu pekerja-pekerja ini, jika tidak boleh terus bekerja di Dawama, sekurang-kurangnya bayar pampasan dan ditempatkan di syarikat-syarikat lain mengikut pengalaman dan kekananan mereka," kata Halim.
Laporan The Malaysian Insider semalam memetik Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd, Zainal Awit berkata, notis mengarahkan lebih 400 pekerja bercuti tanpa gaji dikeluarkan minggu lalu dan ia berkuat kuasa hari ini.
Lebih 100 pekerja merupakan ahli kesatuan itu. Dawama juga ada cawangan di Sabah dan Sarawak.
Notis itu yang menggariskan pertikaian dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai alasan, agensi terletak di bawah Kementerian Pelajaran, sebagai punca kepada tindakan tersebut.
Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.
The Malaysian Insider turut menghubungi Dawama beberapa kali, tetapi tiada respons daripada pengurusan mengenai perkembangan terbaru ini.
Zainal berkata, pihaknya menerima notis berkenaan menggariskan semua pekerja perlu bercuti tanpa gaji sehingga pertikaian dengan Dewan Bahasa dan Pustaka selesai.
Kata Zainal, mengikut notis yang dikeluarkan kepada kesemua pekerja, Dawama mengatakan bahawa pihaknya sedang berhadapan dengan pertikaian ekoran keingkaran Dewan Bahasa dan Pustaka mematuhi konsesi yang dimeterai satu dekad lalu.
Hari ini, kesemua pekerja Dawama akan berkumpul di pekarangan ibu pejabat Dawama di Hulu Klang untuk membuat pendirian dan tindakan susulan mereka.
The Malaysian Insider membawa laporan pada 27 Jun lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Dawama berhadapan dengan “perang dingin” — dipercayai meruncing bulan lalu di sebalik isu kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan agensi itu sejak beberapa tahun lepas.
Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.
Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan