Selasa, 16 Ogos 2011

KENAPA WAKIL RAKYAT BN TIDAK PRIHATIN?

Oleh : BRYAN CHANG SHAK HUNG

ISU kenaikan tarif elektrik pada bulan lalu di Sabah telahpun menunjukkan pemimpin BN di Sabah, langsung tidak menunjukkan kesungguhan untuk membantu rakyat!.Penindasan demi penindasan terus dilakukan sehingga rakyat di Sabah, terutamanya di Sandakan seolah-olah tidak mampu bernafas ketika berhadapan dengan kenaikan tarif elektrik tersebut.

Ini terbukti apabila saya bersama-sama dengan beberapa orang pengguna telah menyampaikan surat kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kiong, pada 12 Julai 2011, supaya meminta Perdana Menteri untuk campur tangan dan seterusnya menghalang daripada berlakunya kenaikan tarif elektrik, langsung tidak mendapat khabar berita.

Antara sebab yang diberikan ialah kekerapan berlakunya gangguan bekalan serta taraf hidup penduduk akan terjejas akibat daripada kesan kenaikan pelbagai harga barangan keperluan.

“Perlu diingat bahawa ini melibatkan berjuta-juta penduduk yang sah di Sabah ini dalam mendapatkan perhatian sepenuhnya oleh Perdana Menteri dan bukannya melabelkan

Sabah ini ‘simpanan tetap’ kepada BN pada pilihanraya umum nanti, tanpa membantu rakyat!..” kata salah seorang pengguna di Sandakan, Calvin Chong yang merungut kerana kenaikan tarif elektrik.

Pengumuman kenaikan yang disokong penuh oleh Datuk Raymond Tan Shu Kiah, perlu dilihat sebagai satu penghinaan kepada rakyat di Sabah khususnya di Sandakan memandangkan tidak ada seorangpun yang hidup di Sandakan ini bersetuju dengan kenaikan tersebut!; kecuali mereka yang berkepentingan!

Bukan sahaja 75% pengguna eletrik yang tidak akan terjejas daripada kenaikan ini, tetapi 75% pengguna akan terjejas manakala 25% merupakan penyokong BN itu sendiri yang tidak akan terjejas!

Bukan itu saja, memandangkan pilihanraya umum ke-13 akan berlaku pada bila-bila masa lagi, para wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan berhubung ketidakwajaran kenaikan tersebut, hanya pandai bermain politik dan langsung tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam menyampaikan bantahan secara rasmi kepada Ketua Menteri Sabah serta mencari alternatif dalam menghalang kenaikan ini daripada dilaksanakan semasa Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengumumkannya hampir dua bulan yang lalu.

Sandiwara dan lakonan daripada wakil rakyat dari BN perlu dipuji!

Lilian Pang melahirkan rasa tidak puas hatinya dengan memberitahu bahawa belum pun isu kenaikan tarif ini selesai, timbul pula kesalahan teknikal dari segi caj bayaran yang dikenakan ke atas pengguna yang rata-rata pengguna tidak berpuas hati walaupun pihak SESB memohon maaf daripada kesilapan teknikal berkenaan.

Adakah ini menyusahkan rakyat? Bukan sahaja kenaikan ini membebankan rakyat, mata yang memandang ke atas bil pun akan memeningkan kepala. Mana tidaknya, terdapat banyak pengiraan di dalam satu bil!

Oleh yang demikian, pihak wakil rakyat dari BN itu sepatutnya membantu rakyat. Perlu diingat bahawa ramai daripada mereka di dalam parti-parti komponen BN itu sendiri meluahkan rasa ketidakpuasan hati dan YB perlu bertindak dan bukannya pandai meluahkan rasa ketidakpuasan tanpa bertindak!

Wakil rakyat dipilih untuk membantu menyelesaikan rintihan dan luahan rakyat dan bukannya bersama-sama dengan rakyat untuk mengeluh dan meluah rintihan. Fikir-fikiran lah!

22 ulasan:

mantra berkata...

SESB yang menaikkan tarif elektrik buka wakil rakyat.

Antanum berkata...

Tarif yang sedia ada sudah terlalu lama untuk dikekalkan iaitu selama 25 tahun. Lagipula penduduk tidak akan mengalami kenaikkan harga jika mereka mengekalkan penggunaan tenaga elektrik 300KW sejam. Selain itu difahamkan kerajaan juga masih mengekalkan rebat kepada penguna bulanan tidak melebihi RM20.

Antanum berkata...

Secara kesimpulannya kenaikkan tarif ini tidak akan membebankan rakyat jika mereka sentiasa berjimat. Tapi kita tunggu dan lihat bagaimana kejadiannya. Tunggu bil bulan ini dikeluarkan dan jika kita menggunakan jumlah tenaga yang sama tapi caj lebih, pasti ada yang tidak kena.

Mohd Ishak berkata...

Patut tanya kenapa SESB tidak prihatin, ataupun Kenapa Chong Pit Fah tidak prihatin?

Mohd Ishak berkata...

Harap kerajaan boleh mencari akal untuk menurunkan tarif elektrik.

madd berkata...

kenaikan tarif hanya melibatkan bil mereka yang melebihi RM77 sebulan..jadi kalau berjimat cermat, kenaikan tidaklah dirasai.

madd berkata...

berkaitan dengan kesilapan teknikal yang berlaku. itu adalah kesilapan teknikal dan rujuklah SESB jika ada apa-apa.

Unknown berkata...

Mungkin kenaikkan ini bukan berlaku di Sabah saja. Tapi seluruh negeri. Sabah mungkin mengalami cuma sedikit kenaikkan berbanding dengan yang lain.

Sanih Alias berkata...

Kita bersyukurlah kenaikkan tidak terlalu tinggi. Benar kata Antanum sudah 25 tahun tidak ada perubahan tarif elektrik. Yang penting pastikan perkhidmatan memuaskan.

Tanpa Nama berkata...

- Tiada kenaikan tarif bagi penggunaan bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah (Lifeline Band). Kadar ini masih dikekalkan pada paras subsidi 21.8 sen/kWj sejak tahun 1997 lagi.

- Pengguna dengan penggunaan 300kWj sebulan dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif.

- Dengan ini, tiada kenaikan tarif kepada 75% pengguna kediaman(4.4 juta pengguna);

- Tiada kenaikan tarif kepada Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band) (3.3 juta pengguna)

- Tiada kenaikan tarif kepada jaluran 201 - 300kWj (1.1 juta pengguna)

itukah yang dikatakan tidak perihatin ketika TNB/SESB menanggung kenaikan harga gas asli dan arang batu selain kos2 luar kawalan??

Tanpa Nama berkata...

tanpa memahami faktor kenaikkan tersebut, sudah tentu rakyat tidak akan ambil peduli tentang apa sebenarnya yang ditanggung oleh kerajaan dan sesb. begitu juga dengan pembangkang sedangkan mereka juga tidak mampu memberikan jaminan bahawa semua harga barang dan perkhidmatan di negara akan kekal rendah sampai kiamat sekiranya mereka mentadbir negara ini.

Tanpa Nama berkata...

apa kata kalau sikap suka menyalahkan itu kita singkirkan. kalau tidak mahu bil elektrik bertambah, berjimatlah sikit.

Tanpa Nama berkata...

ya.. langkah jimat cermat harus kita amalkan.

Paquin berkata...

Aiks napa pula BN???

POP berkata...

Itulah SESB yang membuat hal yang membebankan semua.

Paquin berkata...

Kenaikan tarif memang agak membebankan, namun kalau tahu berjimat rasanya takda masalah juga tu.

Paquin berkata...

Harap kerajaan dapat cari alternatif lain untuk bantu rakyat. Susah juga kalau semuanya pun naik.

Shamila berkata...

the govt should consider reviewing the hike.

Shamila berkata...

kerajaan harus sedar dengan kenaikan tarif elektrik ini bukan sahaja membebankan rakyat terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah bahkan Sabah akan terus kekal sebagai negeri yang termiskin di Malaysia.

Shamila berkata...

jelas kenaikan tarif elektrik ini akan menyebabkan para pelabur asing maupun tempatan dari Borneo/Sem. Malaysia akan tarik keluar pelaburan mereka di Sabah jesteru, pembangunan di Sabah akan terbantut.

Shamila berkata...

kerajaan negeri perlu membantu mengatasi keperitan rakyat yang sekian lama dialami mereka.

Shamila berkata...

nescaya, kenaikan tarif elektrik ini akan mengakibatkan harga barang2 dan perhidmatan lain melambung secara mendadak.