Selasa, 16 Ogos 2011

Kelantan guna facebook dekati perantau

Aslani Mulhiq


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memanfaatkan kemudahan dunia siber bagi mengumpulkan anak-anak perantau yang pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Kalau sebelum ini surat dan kad jemputan dihantar, namun mulai tahun ini facebook yang paling diminati anak muda dimanfaatkan sepenuhnya.

Anda boleh melayari facebook.com/rayaperantau atau rossem bagi mendapatkan maklumat mengenai Majlis Mesra Aidilfitri pemimpin kerajaan negeri bersama anak-anak perantau.

Program itu akan diadakan pada 2 Syawal ini bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa bermula jam 7 petang.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, kerajaan negeri memanfaatkan kemudahan facebook yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia ICT bagi memaklumkan program berkenaan.

“Kalau sebelum ini kita menghantar kad atau surat jemputan bagi memaklumkan program berkenaan, namun mulai tahun ini kita beralih kepada facebook.

“Facebook ternyata lebih berkesan kerana sudah menjadi trend sekarang ramai orang memiliki akaun facebook bagi mengetahui perkembangan semasa,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media dan warga Urusetia Penerangan di sebuah restoran malam tadi.

Hadir sama wartawan-wartawan akhbar berbahasa Cina yang berpusat di Kota Bharu dan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, Drs Zainuddin Awang Hamat.

Majlis Mesra Aidilfitri tahun ini bermula dengan solat Maghrib, jamuan, persembahan kebudayaan dan ucapan pimpinan negeri.

Majlis berkenaan dianjurkan Urusetia Penerangan dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan).

Perakan semasa di bawah kepimpinan Allahyarham Mohamad Radzi Yusof berjaya didaftar sebagai sebuah pertubuhan sah. Selepas dilulus pendaftaran Perakan mengadakan mesyuarat agung pertama pada 1 Ogos 2010.

Perakan sebenarnya lahir hampir 20 tahun lalu pada peringkat awal diketuai Che Ariffin Mahmood, seorang ahli perniagaan.

Pada akhir Syaaban lalu kerajaan negeri dan Perakan juga menganjurkan program Himpunan Anak Kelantan di perantauan di Stadium MPPJ, Kelana Jaya, Selangor.

Dr Fadzli juga berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi akan memastikan hampir 70 peratus liputan internet di Kelantan dalam masa terdekat ini.

”Syarikat tersebut akan menyediakan kemudahan tersebut bagi membolehkan kawasan liputan internet lebih luas sehingga ke kawasan pedalaman,” ujarnya.

Tiada ulasan: