Aziz Muda |
SHAH ALAM: Langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memperkenalkan skim Jom Shoping yang dikhaskan kepada warga emas di seluruh Selangor turut diminati pihak BN sehingga bertindak menirunya. Menerusi skim Jom Shoping, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberikan sumbangan RM100 seorang kepada setiap warga emas rakyat Selangor untuk membantu mereka dari segi kewangan, khususnya untuk membeli belah. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) menjelaskan, skim tersebut sememangnya suatu skim yang baik kepada rakyat dan kerajaan dan sejak diperkenalkan sudah banyak warga emas di Selangor yang menerimanya. Menurut beliau, tujuan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memperkenalkan skim itu adalah untuk membantu rakyat, manakala untuk melaksanakannya, kerajaan mendapatkan dana khas dengan cara tersendiri. Katanya, begitu juga dengan skim-skim lain yang diperkenalkan oleh kerajaan Selangor yang juga dilaksanakan dengan dana yang diperolehi dengan cara tersendiri tanpa membabitkan wang rakyat. "Sekarang Jom Shoping untuk warga emas yang kita perkenalkan itu dah pun ditiru oleh kerajaan BN. Tak apalah kalau kerajaan BN nak tiru perkara baik yang kita buat itu. "Tapi dalam hal ini, kita nak ingatkan kepada kerajaan BN, janganlah pula guna dana pembayar cukai. Kalau nak tiru kita, buatlah seperti yang kita buat juga dengan tidak menggunakan dana pembayar cukai (dana rakyat)," katanya pada sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), di sini, semalam. Sebelum itu, beliau bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Jawankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzullkefly Ahmad, pemimpin PKR dan DAP telah mengadakan rundingan dengan ahli-ahli ekonomi utama di tanah air di tempat yang sama. Rundingan tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan ekonomi, termasuk langkah-langkah untuk mengatasi inflasi di negara ini, di samping mendapatkan pelbagai pandangan untuk digarap oleh Pakatan Rakyat dalam belanjawannya bagi tahun 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini. Pada sidang media bersamanya dengan Datuk Seri Anwar itu, Khalid menjelaskan, belanjawan negeri Selangor yang dibentangkan tahun ini dan tahun-tahun lalu tidak terdapat defisit kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sendiri sememangnya berusaha mengelakkan dari belanjawan yang mempunyai defisit. Katanya, kalau defisit, kerajaan Selangor terpaksalah membuat pinjaman dengan Kerajaan Pusat, sedangkan kerajaan Selangor tidak boleh membuat pinjaman dengan Kerajaan Pusat. "Untuk itu, kita tak perlu pinjam. Apa yang dapat, kita belanja. Begitu juga dengan lebihan RM200 juta dalam belanjawan kita yang lalu, kita akan belanja untuk kepentingan rakyat. "Hasil-hasil yang kita terima dah kita gunakan. Sekiranya kita memerlukan dana untuk membantu rakyat, kita akan gunakan syarikat-syarikat kita. "Syarikat yang kendalikan pasir baru-baru ini dah dapat untung RM20 hingga RM40 juta. Kita minta dari syarikat kita ini sedikit sumbangan untuk dana bagi membantu rakyat, termasuk untuk skim Jom Shoping bagi warga emas," katanya. Tindakan seperti itu, jelas beliau, terpaksa dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bagi mengelakkan belanjawan kerajaan negeri mengalami defisit, memandangkan belanjawan tersebut sudah tinggi. Selain itu, beliau juga menggunakan dana yang diperolehi dari pengumpulan kutipan hutang-hutang yang tidak dibayar dulu bagi melaksanakan skim-skim lain termasuk skim-skim bagi penduduk bandar, luar bandar, golongan wanita, lelaki, belia, remaja, warga emas, pelajar, ibu tunggal dan skim-skim lain yang melibatkan semua golongan. |
Khamis, 4 Ogos 2011
Jom Shopping: BN minat tiru Selangor
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan