Rizal Tahir |
KOTA BHARU: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (Pelindung) mengakui berlaku peningkatan harga makanan pada Ramadan ini. Timbalan Presiden Fomca, Ahmad Othman berkata, kenaikan harga makanan berlaku berikutan harga bahan mentah meningkat sekarang. “Oleh itu saya berharap kerajaan memantau harga makanan yang dijual sebagai juadah berbuka puasa. Harga kuih muih contohnya akok yang sebelum ini boleh dibeli tiga biji RM1, namun sekarang hanya dua biji RM1. “Begitu juga kerabu kaki ayam hanya sekadar empat sudu berharga RM5. Ini membebankan pengguna jika tidak pandai berjimat cermat,” katanya yang juga Pengerusi Pelindung. Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu memantau gerai-gerai jualan di Bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mengenakan harga yang berpatutan. Selain itu pihak berkuasa tempatan juga perlu memantau dengan memastikan premis menjual juadah Ramadan menjaga kebersihan dan beroperasi secara sah. Ahmad juga menasihatkan orang ramai memasak sendiri juadah berbuka bagi mengurangkan bebanan kewangan keluarga. Bagaimanapun beliau berkata, berdasar kepada pemerhatian didapati bazar-bazar Ramadan di Kelantan tetap meriah biar pun harga juadah berbuka terasa mahal berbanding tahun lepas. ”Masyarakat di Kelantan yang gemar berbelanja kadang-kadang tidak kisah sangat harga yang dibayar sehingga ada peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih,” katanya di sini. Beliau juga menasihatkan umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berjimat-cermat. |
Ahad, 7 Ogos 2011
Fomca akui juadah berbuka lebih mahal
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan