Dana Raya: Diskriminasi Ramadhan!
KUALA TERENGGANU - Sambutan Hari Raya Idulfitri bakal menjelang tiba dan kerajaan Umno-Barisan Nasional Terengganu kini sedang sibuk mengagihkan peruntukan wang ehsan berjumlah RM60 juta bagi tahun 2011.
Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan jumlah peruntukan 'gula-gula raya' tersebut akan diberikan kepada rakyat miskin, berpendapatan rendah, warga emas termasuk golongan belia remaja.
Malangnya, pengagihan dana raya itu yang 'sedang rancak berlangsung' masakini, telah berlaku diskriminasi terutama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Penyelaras Dun masing-masing.
Sumber Skuad Buletin memaklumkan setiap penerima dana raya tersebut dikehendaki melafazkan ‘sumpah’ janji setia akan menyokong Umno-BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.
Bahkan, disetengah tempat setiap penerimanya dikehendaki mengisi borang keahlian Umno terlebih dahulu sebelum pembayaran dibuat oleh pihak Dun atau JKKK.
Mohd Sabree Yunus (bukan nama sebenar), 30, dari Manir mendakwa terpaksa melafazkan ‘sumpah’ janji setia menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.
Menurutnya, sumpah ‘Aku Janji’ itu dibuat di pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan di rumah Pengerusi JKKK berkenaan.
“Hendak buat macam mana, disuruh buat sumpah dengan surah Ya’asin. Saya buatlah sumpah Aku Janji akan sokong BN dalam pilihan raya akan datang.
“Jika tidak, saya tidak dapat RM300 itu. Saya buat di pejabat Dun dan ada rakan-rakan lain buat di rumah Pengerusi JKKK,” ujarnya.
Katanya, perbuatan melafaz sumpah taat setia dan ‘Aku Janji’ sambil memegang surah Ya’asin dibuat disemua tempat suluruh negeri Terengganu.
Beliau diberitahu oleh petugas Dun tindakan seumpama itu terpaksa dilakukan oleh Umno kerana bimbang sokongan rakyat terhadap Umno-BN semakin merosot.
Seorang warga emas, Mansor Ngah dari Kampung Maras mendakwa pihak penyelaras Dun dan JKKK telah memotong penerimaan dana khas raya.
Menurutnya, kesalahan yang membawa kepada pemotongan dana raya tersebut kerana telah menyertai satu rombongan melawat negeri kerajaan Pakatan Rakyat, di Pulau Pinang.
“Borang permohonan bantuan telah diisi tetapi telah dipotong dari senarai penerima dana raya kerana mengikuti rombongan melawat kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.
Rakannya, Awang Yusuf, 54, mengakui telah dikeluarkan dari senarai penerima sumbangan dana raya beberapa hari lalu.
Katanya, sebelum ini pernah menerima sumbangan dana raya sebanyak RM400 tetapi telah dikeluarkan dari senarai penerima atas tuduhan menyokong PAS-Pakatan Rakyat.
[Gambar kiri - dari kanan, Rashid, Awang dan Ibrahim, dari Kampung Maras, Batu Rakit, dinafikan Dana Raya kerana melawat Pulau Pinang]
“Dulu dapat RM400 tetapi sekarang nama saya telah dipotong dari senarai penerima kerana pergi (ikut) rombongan ke Pulau Pinang, Mei lalu.
Beliau merupakan seorang buruh kasar dari keluarga berpendapatan rendah serta mempunyi seorang isteri dan 13 orang anak.
Encik Rashid Ibrahim, 47, dari Kampung Maras menyifatkan pemimpin Umno di peringkat kampung ‘zalim’ dan khianat.
Beliau sekadar bekerja kampung dan mempunyai lima orang anak tergolong di kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Menurutnya, ada di kalangan penerima dana raya dipaksa mengisi borang keahlian Umno sebelum duit tersebut diserahkan.
“Tahun 2011 ini, nama saya telah dipotong dari senarai penerima sumbangan dana idulfitri. Ini bukti Umno-BN mengamalkan diskriminasi.
“Saya diberitahu pihak petugas Umno kerana kesalahan menyertai rombongan melawat kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang,” ujarnya.
Bekas pemain bola sepak Terengganu tahun 60-an, Ibrahim Mat, 63, berpendapat pemotongan dari senarai penerima dana raya bersifat dendam politik Umno-PAS.
Katanya, Umno mengamalkan sifat pilih kasih dan hanya mengutamakan penyokong serta ahli Umno-BN sahaja.
“Pemimpin Umno mempunyai sifat dengki, dendam terhadap ahli PAS dan Pakatan Rakyat. Mereka hanya mengutamakan di kalangan orang Umno dan Barisan Nasional,” jelasnya.
Manakala, nasib yang menimpa, Ahmad Kamalrul Hisan Ahmad Hanipah, 29, [Gambar kanan] dari Kampung Tok Dor Luar, Setiu tergolong dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) malang.
Katanya, pernah menerima bantuan hari raya tersebut sebelum dikeluarkan dari senarai penerima.
Beliau yang bekerja sebagai pemandu dengan pendapatan RM500 sebulan mendakwa telah dua tahun namanya tercicir dari senarai penerima bantuan tersebut.
“Saya rasa terkilan dan tidak puas hati kenapa nama saya dikeluarkan. Saya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya ada isteri dan seorang anak yang berusia hampir tiga tahun. Saya tidak boleh kerja berat selepas kemalangan jalan raya sejak lebih setahun lalu,” ujarnya.
Katanya, kali terakhir menerima bantuan raya yang diagihkan setiap tahun kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah pada 2008 sebanyak RM300. -BO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan