Jumaat, 19 Ogos 2011

Bentang masalah Felda di Parlimen

Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata, Parlimen akan menyemak laporan khas yang dibentangkan oleh perdana menteri itu.



TELOK KEMANG: Ahli Parlimen PKR Telok Kemang mencadangkan Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan masalah yang dihadapi Felda di Parlimen.

Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata, Parlimen akan menyemak laporan khas yang dibentangkan oleh perdana menteri itu.

“Felda sejak akhir-akhir ini. sibuk dengan kes mahkamah disaman ataupun menyaman pihak lain, ini tidak lain dan tidak bukan sudah pasti adanya masalah urus tadbir yang kurang cekap di peringkat Felda itu sendiri termasuk pentadbiran oleh Pengerusinya yang baru Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“ Maka saya mencadangkan agar permasalahan Felda ini dibentangkan di Parlimen,” katanya..

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak saman fitnah RM200 juta yang dikemukakan oleh Felda ke atas bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr. Tan Kee Kwong yang sekarang menganggotai PKR.

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Felda difitnah dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat terhadap mereka adalah merupakan suatu bentuk tuduhan kosong.

Saman fitnah

Keputusan mahkamah menolak saman fitnah Felda juga jelas membuktikan bahawa terdapat asas dalam membincangkan masalah pengurusan dan urus tadbir oleh Felda.

“Felda perlu memperakui perkara ini dalam memastikan pengurusan yang lebih baik dan harus mengubah tampuk kepimpinannya.

“Mana mungkin untuk mengorak langkah pengurusan yang lebih baik bagi Felda jika pengerusi sekarang merupakan individu yang pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terlibat dalam politik wang ketika pemilihan 2004.

“Kenyataan individu yang sama menyebut bahawa rasuah bukanlah suatu masalah besar di negara ini kerana ianya berlaku dimana-mana negara merupakan suatu bentuk kenyataan yang jelek yang keluar daripada mulut seorang pengerusi syarikat berkepentingan kerajaan.

“Ini seharusnya membimbangkan pengurusan Felda yang memegang amanah rakyat dalam membangunkan industri pertanian”, ujar Kamarul.

Tiada ulasan: