KUALA LUMPUR — Badan bukan kerajaan Islam mahu pertemuan antara pendakwah bebas Dr Muhammad Uthman El Muhammady dan Mufti Perlis diadakan bagi menjernihkan isu “kesesatan” dan “keganasan” ekoran dakwaan fahaman Wahabi — dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bersedia menjadi “orang tengah.”
Bagaimanapun Presiden Abim Amidi Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu daripada kedua-dua tokoh agama itu sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.
Jelas beliau, sekiranya masih tiada jalan penyelesaian Abim bersedia menjadi “orang tengah” dan pemudahcara.
“Buat masa ini kita berharap perkara ini boleh diselesaikan secara perbincangan atau dialog tapi bila Uthman menolak, pihaknya bercadang untuk berjumpa dengan kedua-dua tokoh terbabit secara berasingan untuk mendapatkan penjelasan.
“Mungkin Dr Uthman ada alasan mengapa beliau tolak, mungkin beliau tidak bersetuju dengan tempat dan mungkin juga beliau ada jalan penyelesaian yang lain... apa-apa pun, kita akan dapatkan maklumat dulu dan kalau tiada jalan penyelesaian, kita bersedia menjadi orang tengah dan pemudahcara,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Uthman telah menolak pelawaan Mufti Perlis agar diadakan satu dialog berhubung isu itu.
Surat penolakan mengenai idea berdialog, yang dicadangkan diadakan ketika Ramadan ini, diterima Juanda Jumaat lalu.
Ekoran keputusan itu, Juanda berkata, beliau amat dukacita kerana Uthman, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah, telah mengambil pendirian menolak jemputan rasmi agar berdialog secara harmoni mengenai isu tersebut yang beliau bangkitkan pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu.
Sebelum ini, Uthman yang dipanggil MKN untuk memberi taklimat mengenai Wahabi berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.
Kata Amidi, sebarang persoalan mengenai isu Wahabi sepatutnya diselesaikan secara dialog dan kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam dalam negara.
“Sepatutnya diselesaikan secara baik, sebab, apa yang kita tahu mereka berdua ini tidak bersependapat... kita menghormati pandangan Dr Uthman tapi adalah lebih baik ia diselesaikan dengan baik dan harmoni.
“Jadi, kita akan mendapatkan penjelasan mereka dulu, kita mahu perkara ini ditangani secara matang,” katanya.
Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin pula berkata, jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut itu adalah dengan mengadakan muzakarah yang melibatkan cendekiawan dan tokoh-tokoh agama.
“Perlu diadakan muzakarah dan perbincangan secara tertutup bukan secara terbuka, ia perlu melibatkan individu yang berwibawa yang melibatkan cendekiawan dan tokoh-tokoh agama.
“Kalau tidak selesaikan perkara ini ia akan menimbulkan keraguan antara kita, kalau boleh perlu ada pihak ketiga yang menganjurkan perbincangan ini, tapi tidak melibatkan mereka yang berkepentingan,” katanya.
Tambah beliau, kemelut yang berlaku boleh diselesaikan dengan baik.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, beliau secara peribadi kesal dengan pihak yang memperbesarkan isu Wahabi yang disifatkannya “tidak sesat.”
“Wahabi ini apa? Wahabi bukan mazhab... Wahabi ini adalah amalan, buat apa kita perlu bising akan perkara ini? Wahabi, perbezaan kita adalah soal cara amalan.
“Yang berbeza cara pegangan dari sudut akidah dan tauhid, orang yang tidak faham Wahabi akan kata bukan... saya faham Wahabi tapi saya tidak ikut Wahabi,” katanya.
Justeru kata beliau, Uthman sepatutnya bersemuka dengan Juanda untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku.
“Selesaikan secara baik, perkara ini bukan isu besar... pertemuan perlu diadakan antara kedua-dua pihak untuk selesaikan perkara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan