Ahad, 17 Julai 2011

TPM: Siar segera rakaman video perhimpunan 9 Julai

BERNAMA


Polis perlu segera menyiarkan rakaman video mengenai usaha mereka menangani perhimpunan 9 Julai lepas yang boleh menjadi bahan bukti untuk menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa polis bertindak ganas, kata timbalan perdana menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata polis perlu bertindak pantas memandangkan media alternatif dan penulis blog pro-pembangkang telah memainkan isu tersebut untuk memburukkan kerajaan.

"Jadi, untuk nak patahkan pembohongan dan putarbelit pembangkang, polis sudah bersedia dengan bahan-bahan bukti, baik rakaman video, kenyataan umum dan sebagainya, eloklah dikemukakan supaya rakyat dapat menilai siapa di pihak yang benar," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra ke Pasar Raja Bot di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata rakyat pula tidak sepatutnya mendengar dari sebelah pihak sahaja, sebaliknya perlu membuat penilaian sewajarnya terhadap segala tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani suasana ketegangan yang dicipta oleh sekumpulan manusia dalam perhimpunan itu

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai fakta dan bukti yang kukuh yang akan digunakan bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mensensasikan pelbagai isu yang berlaku dalam perhimpunan Sabtu lepas, termasuk rakaman sepanjang perhimpunan itu.

Muhyiddin berharap apa yang disebutkan oleh Hishammuddin itu dapat dilakukan dengan segera oleh polis memandangkan mereka "tahu apa yang diputarbelitkan oleh pembangkang dan kita juga sudah menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh pembangkang." .

Muhyiddin turut meminta supaya rakyat memahami serta menghargai tugas polis dalam menangani situasi bagi menghalang perhimpunan itu daripada berlaku seperti kesesakan lalu lintas atau langkah-langkah lain yang diambil demi menjaga keselamatan rakyat di negara ini.

"Rakyat mesti faham bila mana polis berdepan dengan situasi segerombolan yang sebegini, mereka mesti menangani secara bijaksana. Apa yang dibangkitkan oleh pembangkang dan banyak media alternatif, Youtube dan sebagainya adalah gambaran kezaliman.

"Mereka hanya ambil gambar seolah-olah ketika polis bertindak tapi tidak mengambil gambar sebelum perkara ini berlaku yang mungkin sudah ada provokasi, baling batu, menjerit-jerit nak tunjuk begitu hebat mereka dengan pihak berkuasa polis. Mereka manusia, polis pun manusia juga. Yang penting mereka (polis) telah mengamalkan satu disiplin yang cukup di mana mereka bertahan sedangkan boleh bertindak lebih," katanya.

Katanya, rakyat juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa yang disiarkan atau dibaca di dalam blog-blog berkenaan sebaliknya perlu meneliti apa sebenarnya yang berlaku khususnya mengenai tujuan atau tuntutan awal BERSIH yang kini sudah beralih kepada isu lain.


Tiada ulasan: