Ahad, 17 Julai 2011

100 Laporan Polis Desak Aktivis PSM Dibebaskan

Ditulis oleh Shakira Buang


PETALING JAYA : Lebih 100 laporan polis dibuat diseluruh negara sehingga lewat petang semalam bagi mendesak pembebasan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia(PSM) yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (EO) sejak beberapa minggu lalu.

Pengerusinya, Dr Nasir Hashim berkata, kesemua laporan itu dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan(NGO), cawangan PSM serta Parti Rakyat Malaysia(PRM) dari seluruh negara.

Menurut Dr Nasir, laporan polis itu dibuat ke atas tiga individu iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalanya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Beliau yang pernah ditahan di bawah ISA juga berkata, cara tahanan di bawah EO sama seperti ISA yang penuh dengan tekanan.

Malah, katanya tindakan kerajaan menggunakan Ordinan Darurat (EO) menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan enam aktivis parti itu untuk mengaburi mata rakyat.

Dr Nasir Hashim berkata, aktivis PSM tidak seharusnya ditahan di bawah EO kerana mereka bukan penjenayah sebaliknya bergerak di bawah parti yang sah.

"EO adalah digunakan untuk penjenayah yang teruk, tapi ini adalah masalah politik. Kenapa ia ditahan dibawah EO? Tapi soal siasat bersifat ISA," soalnya.

" Kami berpendapat bahawa tahanan EO ini dianiaya dan berniat jahat, kerana tidak ada tuduhan dibuat keatas mereka. Dan jika ada tuduhan, kami mahu mereka dibawa kemuka pengadilan untuk pendakwaan," tegasnya.

Namun ujarnya, apa yang menjadi kebimbangan PSM kini adalah keadaan kesihatan kesemua aktivisnya ketika berada dalam tahanan polis.

" Apa yang paling merisaukan kami adalah ada ahli PSM yang ditahan mengalami masalah kesihatan seperti Dr Jeyakumar Devaraj yang mana telah dua kali dimasukkan ke hospital berhubung masalah jantung. Akibat dari penahan itu masalah dia bermasalah dan beliau baru saja keluar dari IJN,"katanya memberitahu Tvselangor.

Polis sebelum ini mengesahkan bahawa mereka ditahan mengikut seksyen 3(1) Ordinan Darurat selepas tuduhan awal keenam-enam mereka bersama 24 lagi aktivis PSM disiasat kerana menghasut orang ramai bagi melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong digugurkan.

Antara enam aktivis PSM yang ditahan itu adalah ahli parlimen Sungai Siput Michael Jeyakumar, timbalan pengerusinya M Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha cawangan Sungai Siput A Letchumanan, dan ketua pemuda Sarat Babu.

Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) kedua-duanya membolehkan polis menahan suspek sehingga 60 hari tanpa didakwa.

Keenam-enam mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditangkap di plaza tol Sungai Dua pada 25 Julai lalu ketika menaiki bas menuju ke Pulau Pinang bagi menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah".

Kempen dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Polis mendakwa berdasarkan beberapa barangan yang dirampas daripada aktivis berkenaan menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan fahaman parti Komunis Malaya (PKM).

Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman sehingga hari ini.

Tiada ulasan: