Ahad, 3 Julai 2011

Tangkapan: Rakyat sedar hanya rekaan BN

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kerajaan BN dicabar membenarkan wakil Bersih dan parti-parti politik Pakatan Rakyat muncul di televisyen selama satu jam bagi menjawab tohmahan kerajaan terhadap himpunan aman yang akan diadakan 9 Julai ini.

Sudah beberapa minggu mereka menghentam himpunan Bersih tanpa diberi ruang kepada Bersih untuk memberikan penjelasan.

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, sepatutnya peluang diberikan kepada Bersih supaya rakyat dapat menilai kebenaran yang sebenarnya.

Menurut beliau, daripada memainkan isu Ambiga, komunis, pengganas, mengharamkan pemakaian baju kuning Bersih, menggunakan platform khutbah Jumaat, menghalang ceramah-ceramah Pakatan Rakyat, satu peluang pun tidak diberikan oleh kerajaan untuk Bersih dan Pakatan Rakyat menjawabnya.

Katanya, begitu juga dengan pihak polis, disarankan mereka juga diberi ruang satu jam, Bersih satu jam dan kerajaan satu jam untuk menjelaskan tentang himpunan itu.

"Begitu juga dengan khutbah Jumaat yang jelas berbohong apabila menyebut 'Bersih akan mengadakan huru hara, merosakkan harta benda awam dan akan mencederakan pihak polis' yang jelas satu fitnah menggunakan platform agama, tetapi tiada ruang diberikan kepada Bersih untuk menjawabnya," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, ini kerana tuduhan, tohmahan yang BN wujudkan dilihat bahan kelakar oleh rakyat kerana ia jelas direka-reka.

"Mana mungkin sekumpulan aktivis Bersih yang pada awalnya dituduh golongan liberalis, pro-murtad, tiba-tiba ditangkap bersama baju bergambar Abdullah CD, Rasyid Maidin, Ching Peng, Samsiah Fakeh yang beraliran Komunis mahupun sosialis yang jelas bertentangan dengan kelompok liberalis," ujarnya.

Oleh itu, katanya, BN mesti sedar risiko mereka dibenci rakyat semakin membuak-buak.

"PAS Wilayah Persekutuan melihat perkembangan positif di kalangan ahli-ahli yang semakin ramai akan turun pada himpunan 9 Julai ini sebagaimana diarahkan oleh pimpinan utama," katanya.

Tiada ulasan: